IBU bapa main peranan halang anak menjadi mangsa pedofil.
IBU bapa main peranan halang anak menjadi mangsa pedofil.
KANAK-kanak dan remaja mangsa pedofil mengalami trauma dan tekanan sepanjang hayat.
KANAK-kanak dan remaja mangsa pedofil mengalami trauma dan tekanan sepanjang hayat.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Pendedahan mengenai pedofil di Malaysia baru-baru ini membuka mata masyarakat untuk benar-benar sedar wujudnya risiko besar berlaku eksploitasi kanak-kanak akibat tindakan individu tidak bertanggungjawab dan boleh dianggap hilang kewarasan fikiran.

Meskipun berita gempar itu disiarkan secara besar-besaran dan mendapat liputan semua media, malangnya ramai ibu bapa termasuk profesional, hanya membuat sedikit perubahan dalam kehidupan mereka untuk melindungi anak.

Mereka tidak berbuat apa-apa terhadap ancaman itu dan terus mendedahkan kanak-kanak dan keluarga kepada bahaya.

Menjelaskan perkara itu, Perunding Kanan Pediatrik dan Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak Datuk Dr Amar Singh HSS berkata, ramai ibu bapa tanpa rasa bersalah menyiarkan gambar anak di media sosial seperti di Facebook dan Twitter atau menggunakan imej anak mereka sebagai imej profil di WhatsApp, WeChat dan medium lain.

Katanya, secara tidak langsung ibu bapa sendiri yang menyediakan banyak sumber imej kanak-kanak untuk diakses dan digunakan dengan mudah oleh pedofil.

“Satu kajian di Australia mendapati 50 peratus daripada semua gambar digunakan oleh laman web yang sering dikunjungi dan disenggarakan oleh pedofil adalah daripada laman media sosial.

“Saya melihat sejumlah besar rakan pediatrik saya, yang sepatutnya lebih tahu (selepas melihat banyak kes penderaan kanak-kanak), juga bertindak dalam cara tidak selamat yang sama.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita menawarkan pedofil sebuah ‘pasar raya imej kanak-kanak’ untuk dicari dan diakses. Pedofil tidak hanya berminat dengan gambar kanak-kanak telanjang tetapi juga terangsang dengan gambar kanak-kanak comel walaupun si kecil itu berpakaian.

“Imej ini kemudian dipos semula ke laman web pedofil dan dikongsi dengan kumpulan mereka. Paling dahsyat untuk difikirkan adalah sesetengah daripadanya melakukan masturbasi hanya dengan melihat gambar anak kita,” katanya.

Dr Amar berkata, bahaya terbesar adalah apabila pedofil tegar ini menggunakan akses mudah berkenaan bagi mengenal pasti kanak-kanak ini dan menyasarkan untuk membuat hubungan fizikal dan penderaan seksual.

Akses internet tanpa had

Katanya, satu lagi perkara yang perlu difikirkan dan dianalisis semula ialah sikap ibu bapa yang ‘bermurah hati’ menyediakan akses tanpa had untuk anak mereka menggunakan media sosial dan Internet melalui telefon bimbit masing-masing.

Satu kajian yang dilakukan di Pusat Kajian Klinikal (CRC) Perak terhadap kanak-kanak berumur dua tahun pada 2015, menunjukkan lebih 60 peratus mempunyai akses tanpa pengawasan ke Internet melalui telefon bimbit atau tablet manakala anak yang lebih besar mempunyai akses lebih besar.

“Sebahagian besar kanak-kanak yang saya temui dalam amalan klinikal saya juga mempunyai akaun Facebook sendiri walaupun berusia kurang 12 tahun.

“Adakah ibu bapa Malaysia jahil atau tidak mahu mengambil tahu? Ini termasuk ibu bapa daripada profesional perubatan. Dunia sedang berubah dengan pesat dan kita juga perlu berubah untuk melindungi anak kita. Daya tarikan melalui perkongsian imej dalam talian khususnya media sosial membabitkan anak kecil mesti dihentikan segera.

“Suatu hari nanti, apabila anak anda menginjak dewasa, mereka mungkin bertanya kepada kita mengapa imej kanak-kanak mereka disebarkan secara meluas dan digunakan dalam talian oleh individu yang meragukan?

“Satu perkara yang perlu anda tahu ialah sekali imej atau gambar kita dimuat naik di Internet, ia tidak boleh berpatah balik. Sehingga kini tiada cara membuang apa-apa imej yang dikongsi di dalam talian sebaik saja ia sudah dikongsi semula atau dimuat turun. Sesiapa saja bebas memuat turun gambar berkenaan.

“Inilah sebabnya, sebagai ibu bapa kita perlu bertindak bijak dan tegas. Perlu ada kawalan terhadap akses Internet kerana kawalan Internet itu sendiri mempunyai had. Oleh itu ibu bapa perlu mengambil tindakan dan memainkan peranan mereka,” katanya.

Berikut beberapa cadangan oleh Dr Amar untuk melindungi anak daripada ancaman pedofil:

1. Jangan gunakan foto anak anda atau keluarga (termasuk kanak-kanak) sebagai gambar profil untuk apa-apa aplikasi atau laman media sosial.

2. Jangan siarkan gambar anak anda di Facebook, Twitter atau laman media sosial ‘terbuka’ lain. Jika anda perlu berkongsi dengan keluarga maka sekat akses kepada imej berkenaan di laman web atau lebih baik gunakan kumpulan tertutup seperti aplikasi Telegram.

3. Jangan siarkan gambar anak anda dalam apa-apa keadaan tidak berbaju lengkap (seluar pendek, pakaian renang dan lain-lain).

4. Jangan dedahkan lokasi, alamat rumah atau sekolah kanak-kanak dalam talian.

5. Bincangkan peraturan keselamatan asas dalam talian dengan anak anda secara berkala.

6. Memantau akses dan penggunaan laman internet dan media sosial anak anda.

7. Hadkan akses anak anda ke Facebook dan rangkaian laman sosial lain. Pastikan mereka cukup matang sebelum menggunakan laman berkenaan. Pantau aktiviti mereka di situ.

8. Ibu bapa juga perlu mengehadkan masa mereka sendiri di laman media sosial dan penggunaan telefon bimbit. Sebelum menetapkan sebarang peraturan, kita sebagai ibu bapa perlu menjadi contoh terlebih dulu. Perkara ini sangat penting. Jalinkan hubungan erat dengan anak secara emosi dan fizikal, bukan secara elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 2:28 PM