PANTAU pergerakan anak anda.
PANTAU pergerakan anak anda.
MANGSA pedofilia alami gangguan emosi.
MANGSA pedofilia alami gangguan emosi.
DARI kiri Jussly, pemudah cara, Halimah Abdul Hamid, Dr Mariani dan Dr Fairuz dalam forum Pedofilia & Pornografi Selamatkah Anak-Anak Kita, baru-baru ini.
DARI kiri Jussly, pemudah cara, Halimah Abdul Hamid, Dr Mariani dan Dr Fairuz dalam forum Pedofilia & Pornografi Selamatkah Anak-Anak Kita, baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib

Malaysia digemparkan dengan berita tertangkapnya pedofil, seorang pelajar Malaysia di universiti terkemuka di London. Pelajar ini menyimpan dan mengedar gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya penderaan seksual kanak-kanak yang ekstrem.

Sebelum itu, pendedahan pedofil warga Britain yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku salah terhadap 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia berusia di antara enam hingga 12 tahun dari 2006 ke 2014 menggemparkan negara sekali gus membuka mata masyarakat mengenai kes pedofilia yang semakin berleluasa ketika ini.

Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofil belum baligh sama ada lelaki atau perempuan. Pernah berlaku ke atas bayi berusia tujuh bulan apabila dirogol suami pengasuh di Kepong, Selangor.

Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang membabitkan bayi, malah banyak kes tidak dilaporkan.

Kedua-dua kes ini pastinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama ibu bapa. Semua ingin tahu, apakah itu pedofilia dan bagaimana mengenalinya?

Dekan Jabatan Pendidikan Psikologi Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Md Nor dalam forum bertajuk Pedofilia dan Pornografi: Selamatkah Anak-Anak Kita, menyifatkan pedofilia sebagai kecelaruan dalam personaliti dewasa yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak belum baligh atau baru mencapai umur baligh. Jika dilihat daripada takrifan, pedofilia ialah pesakit mental atau yang mengalami gangguan psikiatrik.

“Namun masalahnya gangguan mental ini sangat sukar dikenal pasti. Ia hanya menunjukkan tanda seperti seorang yang obses iaitu gemar melihat untuk mencari mangsa. Biasanya mereka ialah orang terdekat yang mudah bermesra dengan kanak-kanak dan akan mengikuti perkembangan kanak-kanak itu di mana saja sama ada di rumah sehingga ke sekolah.

“Dari situ mereka menjadi lebih agresif misalnya mengambil peluang mendekati kanak-kanak terbabit contohnya meminta kebenaran menghantar anak ke sekolah tanpa rasa syak wasangka ibu bapa, berbual mesra dan menyentuhnya.

“Dalam erti kata lain, pedofil seorang yang bijak menyembunyikan kegiatan mereka sehingga tidak dapat dikesan. Ini kerana kebiasaannya pedofil dilakukan orang terdekat seperti ayah, abang, sepupu, pak cik, jiran, guru atau pemandu van tidak kira sama ada mereka pedofil lelaki atau wanita,” katanya pada forum anjuran Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) TNB Bangi dan Persatuan Tadika Islam Malaysia yang diadakan baru-baru ini di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Selain itu, pedofil juga mempunyai sikap pendiam, murung dan gemar mengumpul gambar menerusi media sosial. Bagi mereka, gambar kanak-kanak walaupun dengan pelbagai aksi biasa menimbulkan rasa berahi kepada golongan ini. Pada masa ini mereka mula menggambarkan, lebih banyak berfantasi dan kemudian diteruskan menerusi perlakuan jijik terhadap mangsa.

Jelasnya, kanak-kanak berusia dua atau lima tahun yang diraba, dibelai, dicium dengan diberikan rangsangan sama ada kasar atau perlahan akan meninggalkan kesan psikologi dalam jangka masa panjang. Bagi kanak-kanak yang sudah memahami akan bertanya mengapa mereka diperlakukan sebegitu sedangkan ia dilakukan orang yang rapat dan dikenali.

“Bagi kes yang sudah serius sehingga memaksa kanak-kanak ke hospital dan disoal polis, ia pasti meninggalkan trauma yang sukar dilupakan. Kanak-kanak perempuan akan berasa diri sudah tidak suci begitu juga lelaki yang rasa rendah diri dan berkemungkinan akan menjadi pedofil apabila besar nanti.

“Kesan sosial juga dapat dilihat. Jika kanak-kanak ini aktif, banyak cakap dan lincah mereka mula menjadi pendiam, menyendiri, murung, tidak lagi percaya kepada orang lain dan penakut. Di sekolah pembelajaran turut terganggu, mereka tidak lagi menyertai pelbagai aktiviti dan tidak mahu berkawan, manakala dari segi fizikal hilang selera makan sehingga berat badan turun mendadak dan sering sakit,” jelasnya.

Tanda awal mangsa

Sebagai orang yang paling rapat dengan anak, ibu bapa perlu mengetahui pergerakan mereka sama ada di rumah atau sekolah. Mereka perlu tahu rutin harian anak, siapa rakan dan di mana mereka ketika itu. Kenali juga permainan anak sama ada gemar bermain permainan video atau menghabiskan masa di media sosial.

Jelas Pakar Psikiatri Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Fairuz Nazri, mangsa pedofil sebenarnya sudah mula menunjukkan tanda awal sejak kali pertama mereka menjadi mangsa. Biasanya ia ditandai dengan kesakitan pada bahagian tertentu seperti kemaluan dan anak ini akan memberitahu ibu apa yang dirasainya.

“Tanda lain ialah kecederaan pada kemaluan, punggung, paha, payudara dan mulut. Sakit apabila kencing atau buang air besar serta mengalami kencing kotor. Bagi ibu yang merasai kelainan pada anak mereka, jangan tunggu, segera berjumpa doktor dalam keadaan sedia ada.

“Jangan mandikan anak atau menukar pakaiannya. Dalam hal ini sesiapa juga boleh membawa si kecil ini bukan hanya ibu bapa. Ini kerana ada kes pedofilia dilakukan ayah atau ahli keluarga terdekat, sudah pasti mereka mengambil langkah mendiamkan diri,” katanya.

Biasanya mangsa dimasukkan ke wad kanak-kanak sementara laporan polis dilakukan. Pernah terjadi kejadian membabit­kan ayah dan si ibu mahu menarik semula laporan polis. Sudah tentu ia akan hanya meninggalkan kesan psikologi kepada anak kerana mereka berasakan harga diri terganggu.

“Saya sering menasihati ibu bapa supaya mengajar anak untuk memberitahu sebarang ancaman kepada ibu bapa. Bagi yang sering melayari Internet, jelaskan kebaikan dan keburukannya. Elakkan membenarkan anak melayari Internet menerusi komputer riba mereka sendiri atau membenarkan telefon dibawa ke bilik tidur. Perlu ada rasa syak wasangka dan berhati-hati dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Kajian dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati tiga tujuan utama pengguna Internet adalah untuk mencari maklumat, berkomunikasi menerusi media sosial dan komunikasi umum. Di Malaysia, kanak-kanak seawal usia lima tahun sudah memiliki telefon pintar dan pada usia enam tahun sudah mula menggunakan Internet. Demikian menurut Ketua Jabatan, Jabatan Pelaksanaan Jangkauan Suruhanjaya Komisyen Komunikasi Malaysia Jussly Elis.

Katanya, apabila kanak-kanak pulang dari sekolah, perkara pertama yang dicari ialah telefon dengan tujuan berkomunikasi dengan rakan sekolah. Mereka juga gembira apabila mempunyai ramai kawan di media sosial kerana mudah berhubung menerusi aktiviti dalam talian. Tanpa sedar gambar yang dimasukkan akan mendedahkan anak ini kepada penganiayaan dalam talian serta menjadi bahan promosi lucah bagi pedofil.

“Namun untuk mengatakan tidak kepada Internet tentunya amat sukar. Oleh kerana kandungannya sukar dikawal, ibu bapa perlu mengambil 10 langkah bijak ke hadapan berbanding anak. Kebanyakan golongan ‘cyber groomer’ atau penjenayah siber bermula dengan menjadi kawan kepada anak bagi membina hubungan emosi. Mereka menggunakan pelbagai saluran seperti Facebook dan WhatsApp untuk berhubung dengan mangsa,” katanya.

Bagi mengelak anak terbabit dengan jenayah siber seterusnya menjadi mangsa, periksa telefon mereka setiap hari. Hadkan penggunaan dan panggilan serta tetapkan masa menggunakannya. Bagi anak yang sudah bersekolah sentiasa nasihati mereka agar tidak memaklumkan nombor telefon, Facebook kepada mereka yang tidak dikenali serta elak berjumpa rakan tanpa ditemani ibu bapa.

“Selain itu sentiasa periksa mesej yang diterima, serta jangan percaya kepada orang yang tidak dikenali. Terdapat aplikasi terkini yang membolehkan ibu bapa mengetahui kegiatan anak menerusi penggunaan telefon mereka. Mungkin cara ini dapat membantu mengelak anak menjadi mangsa pedofil,” katanya.

Panduan melindungi anak daripada pedofil

1. Ingatkan anak kecil supaya tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofilia selalunya memujuk anak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.

2. Ajar anak mengenai bahagian yang sepatutnya tidak boleh disentuh orang lain termasuk saudara-mara terdekat atau mereka yang berada di rumah pengasuh, pusat jagaan dan tadika. Tubuh badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh disentuh oleh orang lain.

Bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak mengenai isu seksual mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang difahami.

3. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak yang mungkin mempamerkan sebarang ketidakselesaan atau kegelisahan.

4. Elakkan sering memuat naik gambar anak atau video menerusi media sosial terutama Facebook kerana mungkin ada antara pedofil sedang memerhatikan gambar anak anda sehingga menimbulkan rasa berahi.

Tidak semua rakan atau pengikut adalah orang yang anda kenali. Gambar kanak-kanak yang comel walaupun dalam aksi bersahaja boleh mendatangkan nafsu syahwat pada pedofil.

5. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Sekiranya kita perlu ke tandas dan anak berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.

6. Wujudkan peraturan yang mewajibkan anak menggunakan komputer hanya di ruang tamu. Elak daripada membenarkan anak menyimpan dan menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana sukar dipantau. Ini membuka peluang untuk pedofil kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.

7. Pastikan anda kenal siapa kawan rapat anak, begitu juga guru, jurulatih dan semua remaja dan orang dewasa yang terbabit dengan mereka.

8. Jangan biarkan anak kecil ke mana-mana berseorangan walaupun destinasi yang berdekatan seperti kedai atau pasar malam. Pedofil mungkin lama memerhatikan rutin dan gerak-geri anak anda. Mereka mungkin merancang sesuatu dan hanya menunggu masa untuk bertindak jahat.

Sumber: Parent Connect Consultancy

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:22 AM