PANTAU penggunaan Internet anak.
PANTAU penggunaan Internet anak.
Siti Zarinah Sahib

Kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2015 mengenai gejala buli siber membabitkan 7,600 kanak-kanak dan remaja berumur lapan hingga 17 tahun di 25 negara menunjukkan China mencatatkan peratusan tertinggi gejala buli siber dengan 70 peratus, diikuti Singapura (58 peratus) dan India (53 peratus). Malaysia menduduki tempat keempat dengan 33 peratus diikuti Pakistan (26 peratus) dan Jepun (17 peratus).

China dan Singapura melaporkan kadar buli dalam talian tertinggi berbanding buli secara bersemuka dan ia amat membimbangkan kerana peratusan ini semakin meningkat setiap tahun.

Walaupun Internet menyediakan peluang terbuka untuk kanak-kanak berkomunikasi, belajar dan mengembangkan kemahiran baru, ibu bapa perlu sedar penjenayah siber bersembunyi di mana saja terutama dalam talian. Ini boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sesuai, tingkah laku jenayah dan berita palsu.

Fortinet, peneraju global dalam penyelesaian keselamatan siber yang luas dan bersepadu menggesa ibu bapa menyelia aktiviti dalam talian kanak-kanak dan mendidik mereka melayari Internet dengan selamat.

Menurut Pengurus Negara Fortinet Malaysia Alex Loh, oleh kerana Internet terutama jalur lebar mudah alih menjadi lebih mudah diakses dan mampu dimiliki, lebih ramai kanak-kanak melayarinya untuk tempoh lebih lama.

“Ibu bapa perlu lebih peka terhadap bahaya tersembunyi dalam talian. Walaupun Internet menawarkan bahan pendidikan, permainan menyeronokkan dan cara baru berhubung dengan rakan, ia juga boleh menjadi tempat untuk melakukan buli siber.

“Kandungan bahan yang tidak sesuai dan berbahaya membuatkan penjenayah mencari mangsa dan mencuri identiti kanak-kanak dan keluarga mereka,” katanya.

LOH
LOH

Cara lindungi anak

Ada beberapa cara dicadangkan Fortinet bagi membantu kanak-kanak kekal selamat ketika menggunakan Internet, antaranya:

1. Tempoh guna

Berbincang dengan anak mengenai masa mereka menggunakan komputer. Cuba tetapkan sempadan termasuk peraturan mengenai berapa lama mereka boleh melayari laman sesawang, program perisian yang boleh digunakan dan aktiviti yang dibenarkan berdasarkan kesesuaian umur, pengetahuan dan kematangan.

2. Simpan maklumat peribadi

Kepentingan menyimpan maklumat peribadi adalah sangat penting. Maklumat peribadi dan gambar di Internet mendatangkan bahaya kerana boleh digunakan penjenayah untuk tujuan jahat. Ini kerana gambar yang dimuat naik ini sukar untuk dipadamkan. Ia membawa kesan pada masa hadapan jika disalahgunakan. Semak tetapan privasi anak anda di laman media sosial untuk mengelakkan individu yang tidak dikenali mengakses maklumat peribadi.

3. Pastikan anak anda memahami

Jangan sesekali memberikan nama, nombor telefon, alamat emel, kata laluan, alamat, nama sekolah atau gambar tanpa kebenaran anda.

Jangan membalas sesuatu mesej yang berbahaya.

Jangan membuka emel atau lampiran dari individu yang tidak dikenali.

Jangan berkumpul dengan orang yang mereka kenali menerusi dalam talian.

4. Lapor

Biar kanak-kanak tahu untuk melaporkan apa yang dirasakan tidak betul. Kanak-kanak seharusnya diberi amaran mengenai bahaya di Internet supaya mereka dapat mengenali kelakuan atau aktiviti yang mencurigakan. Galakkan anak anda bercerita jika berhadapan apa juga masalah di laman web, e-mel atau laman sembang yang membuatkan mereka kurang selesa.

5. Pantau aktiviti

Berhati-hati dengan aktiviti komputer anak anda. Pantau aktiviti dalam talian termasuk laman web yang mereka lawati. Pastikan anda mempunyai kesedaran mengenai dengan siapa mereka berkomunikasi.

6. Lokasi

Letak komputer di kawasan terbuka. Ini memudahkan anda untuk memantau aktiviti anak-anak dan dapat mengelak anak daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Anda juga boleh bertindak sekiranya melihat perkara yang boleh mendatangkan kesan negatif.

7. Kawal pelayar

Pertimbangkan untuk melaksanakan kawalan ibu bapa di pelayar web. Pelayar web membolehkan anda menyekat atau hanya membenarkan laman web tertentu untuk dilihat di komputer yang dikenali sebagai ‘whitelisting’ dan tetapan ini boleh dilindungi dengan kata laluan. Walaupun tiada teknologi yang sempurna, terdapat aplikasi perisian komersial yang boleh dipasang untuk memantau, menapis dan menyekat akses ke kandungan berbahaya dalam talian. Ibu bapa juga boleh menyemak dengan penyedia perkhidmatan Internet mudah alih jika mereka menyediakan perkhidmatan sekatan sebagai tambahan pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 2:56 PM