Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Penubuhan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (Naico Malaysia) secara umumnya akan menguntungkan negara dari segi pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus membantu syarikat tempatan dan luar negara menjalankan perniagaan mereka secara jitu di Malaysia.

Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-Miat) Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, statistik menunjukkan yang bidang aeroangkasa di Malaysia memperoleh nilai pelaburan sebanyak RM3.8 billion secara kumulatif dari 2017 hingga 2021.

Katanya, ini adalah satu petanda yang industri ini semakin matang dan memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi untuk mengekalkan dan menaikkan nilai pelaburan.

"Syarikat antarabangsa seperti Spirit Aerosystem dan Rolls Royce (yang sudah bekerjasama dengan UMW untuk membangunkan UMW Serendah Land) melihat Malaysia sebagai negara yang berpotensi untuk dijadikan tapak penempatan dan pengilangan komponen aeroangkasa dan ini mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan untuk mereka yang terbabit dalam pembelajaran aeroangkasa di Malaysia.

"Naico pada dasarnya juga berperanan untuk mengkoordinasikan pihak yang terbabit dalam industri aeroangkasa.

"Naico adalah match maker yang menyelaraskan sumber aeroangkasa dan sumber-sumber ini dapat diguna pakai oleh pihak-pihak terbabit dalam industri aeroangkasa untuk meningkatkan tahap perniagaan mereka.

"Naico juga adalah badan yang memacu sektor aeroangkasa di Malaysia mengikut pelan tindakan Aero Angkasa Negara 2030 di mana Naico berperanan untuk mengkoordinasikan pelabur dan rantaian bekalan serta terbabit dalam pembangunan industri itu," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Naico juga terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam perbincangan dan perjanjian antara pihak berkenaan dan syarikat aeroangkasa sejajar dengan langkah kerajaan untuk memudahkan kolaborasi antara entiti dalam sektor ini sendiri.

Beliau berkata, ini bakal menguntungkan negara kerana dengan adanya Naico negara mempunyai agensi yang memperjuangkan dasar aeroangkasa negara.

Kerajaan baru-baru ini sudah meluluskan Naico Malaysia sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk memacu pembangunan ekosistem industri aeroangkasa di negara ini.

Kelulusan itu juga diberikan sejajar dengan pertumbuhan industri aeroangkasa yang mencatatkan pendapatan tinggi mencecah RM16.2 bilion pada 2019 dan pekerjaan berkemahiran tinggi lebih 10,000 pekerja tempatan.

Kerjasama dan perkongsian dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) juga akan ditingkatkan untuk meningkatkan pelaburan aeroangkasa yang strategik dan berkualiti untuk membantu integrasi serantau dan global rantaian bekalan tempatan, yang mana peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya PKS Bumiputera.

Aeroangkasa juga adalah satu daripada tiga bidang tumpuan Transformasi Ekonomi Bumiputera di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 8:05 AM