Penduduk Orang Asli Ledang bersama peguam mereka, Nurhannan Ishak (dua dari kanan) memfailkan saman terhadap pihak berkuasa kerajaan negeri yang cuba mengusir orang asal Ledang di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Penduduk Orang Asli Ledang bersama peguam mereka, Nurhannan Ishak (dua dari kanan) memfailkan saman terhadap pihak berkuasa kerajaan negeri yang cuba mengusir orang asal Ledang di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kira-kira 600 penduduk Orang Asli dari Kampung Sungai Air Tawas dan Kampung Tanah Gembur di Ledang memfailkan saman terhadap empat defendan termasuk kerajaan negeri di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Writ saman itu difailkan Jengkeng Jani, 69, dan Mengek Achai, 56, selaku defendan melalui Tetuan Kamal Hisham & Associates di kaunter mahkamah berkenaan pada jam 9 pagi ini.

Kedua-dua plaintif menamakan Zila Maju Enterprise selaku defendan pertama diikuti tiga defendan lain iaitu Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutannya plaintif memohon pengisytiharan bahawa mereka mempunyai hak milik Tanah Adat Asli dan tuan punya tanah didiami ketika ini.

Plaintif turut memohon satu perintah menghalang kepada mana-mana puak daripada memasuki atau melaksanakan sebarang kerja di tanah itu.

Sementara itu ketika ditemui di luar mahkamah, Mengek yang mewakili Perkampungan Orang Asli Air Tawas mendakwa tindakan Perbadanan Taman Negara Johor membina pagar dan mengorek longkang di tanah Orang Asli sangat dikesali.

Malah dakwanya, tindakan itu mengancam kubur nenek moyang mereka, selain sukar melaksanakan kerja mencari hasil hutan seperti dilakukan sebelum ini.

"Kami juga tidak pernah dimaklumkan atau diberikan notis memaklumkan kerja dilaksanakan Zila Maju Enterprise pada 30 November lalu.

"Sebaliknya hanya menyedari apabila pihak berkenaan menghantar jentera berat ke kampung itu pada 14 November lalu," katanya.

Selain dua kampung berkenaan, turut terkesan penduduk di Kampung Sungai Mering.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 2:20 PM