AFP

Madrid: Penyerang Barcelona Luis Suarez (gambar tengah) menegaskan kelab Catalan itu ‘bertanggungjawab’ untuk mengejar Real Madrid di puncak La Liga Sepanyol meskipun semakin jauh ketinggalan berbanding juara Eropah itu selepas seri 1-1 dengan Villarreal, kelmarin.

Malah jaringan hasil sepakan percuma Lionel Messi tidak mampu menghalang Barca daripada ketinggalan lima mata berbanding Madrid, yang mempunyai baki satu perlawanan selepas Nicola Sansone meletakkan Villarreal di depan sebaik selepas rehat.

Keputusan seri itu melengkapkan aksi hambar buat Barca pada tahun baru selepas tewas perlawanan pertama Piala Raja Sepanyol di tangan Athletic Bilbao, Khamis lalu.

“Kami sedar kami adalah Barcelona dan bertanggungjawab berjuang merebut semua gelaran,” kata Suarez.

Barca menanti kunjungan Bilbao pada aksi timbal balik awal pagi Khamis ini dengan harapan mengelak daripada tersingkir buat kali pertama kepada pasukan selain Madrid sejak 2008.

“Apa yang penting sekarang adalah aksi Piala pada Rabu (awal pagi Khamis),” ujar Suarez.

“Kami perlu bersungguh-sungguh sejak minit pertama untuk menang dan layak.”

Suarez gagal menemui sentuhan di depan gawang seperti rakan penyerang Barca Neymar dan Messi.

“Mereka membuktikan musim lalu betapa mereka sukar ditentang di laman sendiri. Kami mempunyai peluang pada babak kedua tapi gagal menyempurnakannya hinggalah Leo melakukan jaringan,” kata Suarez.

“Kami mensia-siakan dua mata tapi kami perlu bekerja keras.”

Pengurus Barca Luis Enrique percaya skuadnya sudah melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan biarpun gagal memantapkan serangan dan rapuh di bahagian pertahanan musim ini.

“Tidak syak lagi saya fikir kami berhak menang perlawanan ini,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:07 AM