AFP

Madrid: Lionel Messi menyumbat satu gol dan mencipta empat gol lagi ketika Barcelona merapatkan kedudukan kepada satu mata berbanding pendahulu La Liga Sepanyol, Real Madrid dengan persembahan mengagumkan untuk membelasah Athletic Bilbao 5-2, awal pagi semalam.

Pemain Terbaik Dunia empat kali itu membuka tirai jaringan dengan sepakan percuma yang tertampan masuk dan kemudian melorongkan kepada Luis Suarez untuk menggandakan kelebihan pelawat.

Mikel Rico seketika memberikan harapan kepada Athletic selepas rehat, namun tandukan Messi ke arah gol ditampan masuk ke gawang sendiri oleh Oscar de Marcos sebelum Neymar merembat masuk gol keempat Barca daripada satu lagi hantaran Messi.

Aritz Aduriz melengkapkan gol keempat dalam tempoh enam minit apabila membalas satu gol buat Athletic, namun tuan rumah menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Xabier Etxeita dilayangkan kad merah kerana terjahan keras ke atas Suarez sebelum Pedro Rodriguez menambah gol kelima.

Barca kini menang semua sembilan perlawanan terakhir, menjaringkan 34 dalam tempoh itu dan menerima rangsangan dengan persembahan hambar Real yang dibelasah Atletico Madrid 4-0, Sabtu lalu.

“Jelas pasukan ini semuanya bersatu hati dan memikirkan sasaran sama,” kata Suarez.

“Pemain bertaraf dunia seperti Messi dan Neymar sering merubah perlawanan. Saya hanya mahu berseronok bermain dengan mereka.”

Messi mengumpul gol ke-33 musim ini dengan gol pembukaan pada minit ke-16, namun dia bertuah kerana sepakan percumanya terkena Aymeric Laporte di benteng Athletic, sekali gus mengelirukan penjaga gol Gorka Irairoz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:01 AM