HAMIDAH dihantar ke hospital. FOTO ihsan Bomba
HAMIDAH dihantar ke hospital. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Isteri kepada nelayan yang dikhuatiri lemas di perairan Kuala Kedah Sabtu lalu, selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Sultanah Bahiyah, malam tadi.

Hamidah Zakaria, 27, turut menunggu di jeti berkenaan ketika operasi pencarian suaminya, Shukri Md Rashid, 30, yang dikhuatiri lemas selepas keluar mencandat sotong di perairan Kuala Kedah Sabtu lalu.

Operasi pencarian bermula 7.30 malam tadi sebelum Hamidah mengalami kesakitan hendak bersalin kira-kira 9 malam.

Mangsa dihantar ke HSB dengan bantuan anggota bomba menaiki jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS).

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba Shuib Idris berkata, mangsa dihantar ke hospital pada 9.08 minit malam selepas mengalami sakit tanda hendak bersalin.

Beliau berkata, mangsa selamat bersalin bayi lelaki seberat 3.56 kilogram di hospital pada 9.47 malam.

Operasi mencari suami mangsa masih diteruskan pagi ini.

Difahamkan, Hamidah dan bayinya yang juga anak ketiga dalam keadaan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 12:18 PM