FORD Everest baru memiliki pakej teknologi terkini dalam pemanduan luar jalan.
FORD Everest baru memiliki pakej teknologi terkini dalam pemanduan luar jalan.
BAHAGIAN belakang Ford Everest baru yang dipertingkatkan.
BAHAGIAN belakang Ford Everest baru yang dipertingkatkan.
MODEL ini dilengkapi dua panel bumbung suria.
MODEL ini dilengkapi dua panel bumbung suria.
BAHAGIAN dalaman yang mewah dan dilengkapi teknologi terkini.
BAHAGIAN dalaman yang mewah dan dilengkapi teknologi terkini.
RUANG penumpang yang selesa.
RUANG penumpang yang selesa.
Oleh Noor Azam Abd Aziz

Pengenalan model Ford Everest serba baru yang bakal berada di pasaran Asia Pasifik pada 2015 di Beijing, China baru-baru ini, satu lagi taruhan terbaru Ford bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) di peringkat global.

Penampilan SUV tujuh tempat duduk itu yang lebar dan rekaan berani bahagian depannya menggambarkan kemampuan kenderaan ini di laluan luar jalan.

Pengurus Reka Bentuk Luaran, Ford Asia Pasifik, David Dewitt pada sidang medianya berkata, apabila memandang Ford Everest, pengguna akan tahu mereka bakal memperoleh kenderaan yang memiliki kemampuan luar biasa dan tahap keselesaan tiada tandingan.

Menurutnya, Ford Everest baru melangkaui semua yang pernah kita lihat dalam segmen SUV sebelum ini hasil kajian menyeluruh ke atas pasaran dan kecenderungan pengguna masa kini.

Katanya, hasil kajian Ford di Asia Pasifik itu berjaya menghasilkan sebuah SUV yang tahan lasak dan berkuasa.

"Pelanggan memberitahu, mereka mahukan sebuah SUV yang seimbang daripada segi kelasakan di laluan luar jalan serta ruang kabin yang selesa dan halus buatannya. Kami mendengar maklum balas berkenaan.

"Hasilnya, Ford Everest serba baru ini memenuhi apa yang pelanggan mahukan, sama ada dari segi dalaman atau luarannya," katanya.

Beliau berkata, penghasilan reka bentuk Ford Everest baru itu diketuai oleh Pusat Reka Bentuk global Ford di Australia dengan menggambarkan warisan SUV global Ford selama 50 tahun dan kepakarannya dalam segmen kenderaan utiliti.

"Ford mereka bentuk SUV hampir 50 tahun. Setiap garis pada permukaan Everest menggambarkan kemampuan dan sifatnya yang mantap. Pada masa sama, ia sebuah kenderaan moden, kemas dan tidak akan tersilap bahawa ia adalah sebuah Ford," katanya.

Sekali pandang, DNA reka bentuk Ford dapat dilihat dengan jelas pada rekaan jeriji berbentuk trapezoidal terbalik yang mengukuhkan lagi kedudukan Ford Everest baru sebagai satu kenderaan One Ford global.

Lampu utama Ford Everest memenuhi bucu jeriji, menggambarkan rupanya yang tegap dan teknikal, serta membantu menjelaskan fungsi jentera ini.

Dari jeriji, lampu berkenaan digabungkan bersama rekaan yang menyerlahkan penampilannya yang moden dan aerodinamik.

Pada bahagian bawahnya pula, sebuah bampar bersepadu menempatkan lampu kabus dan meneruskan tema rekaan horizontal, sekali gus memberikan kenderaan ini penampilan moden.

Ruang dalaman modennya pula mendefinisikan semula tahap keselesaan yang boleh pelanggan harapkan daripada sebuah SUV tahan lasak.

Ia direka menggunakan material premium dan fabrik terkini, ditambah pula dengan teknologi termaju, ruang dalaman sangat senyap menawarkan ciri yang membuatkan pengalaman berada di dalam kenderaan berasa lebih selesa.

Ini termasuk dua panel bumbung suria di bahagian atas dua baris tempat duduk, selain corong pemanas dan pendingin hawa untuk setiap baris tempat duduk, malah tempat duduknya boleh dilaraskan secara elektronik lengkap dengan pemanas serta boleh dikawal. Ini membantu pemandu dan penumpang depan mendapatkan posisi duduk terbaik.

Aspek aerodinamik yang direka secara berhati-hati memastikan Ford Everest mampu menawarkan pemanduan senyap walaupun ketika cermin tingkap diturunkan.

Ruang kargo belakang direka khas untuk memuatkan barang besar seperti beg golf tanpa mengganggu tempat duduk penumpang, manakala ruang penyimpanan di depan mampu menyimpan sebuah komputer riba bersaiz 16 inci dengan selamat.

Ford Everest turut menggabungkan kemampuan laluan luar jalan terkini. Teknologi termaju seperti sistem pacuan empat roda pintar Ford membantu pemandu menempuh pelbagai jenis laluan dengan mudah.

Ciri Terrain Management System (TMS) yang canggih menawarkan empat talaan berbeza yang berupaya mengoptimumkan prestasi untuk pemanduan harian di atas jalan raya, laluan berpasir, salji dan jalan berbatu yang ekstrem.

Talaan suspensi yang tepat, termasuk gandar belakang kukuh dan binaan badan atas kerangka tegar, menawarkan kekuatan pemanduan luar jalan serta pengendalian cemerlang di atas jalan. Elemen ini menyediakan kualiti pemanduan selesa, sama ada di atas jalan atau di laluan luar jalan.

Antaranya, kemampuan mengharung air setinggi 800mm yang terbaik dalam kelasnya, jarak kelegaan tanah mencecah 225mm, keupayaan mengangkut beban sehingga 750kg di ruang kargo dan 100kg di atas bumbung, kapasiti menunda 3,000kg dan teknologi bantuan pemandu termaju.

Generasi terkini enjin diesel Duratorq dan enjin petrol EcoBoost Ford menawarkan kuasa, kecekapan dan kelancaran mendahului kelasnya.

Kemampuan Ford Everest dipacu oleh rangkaian enjin yang lancar, berkuasa dan efisien iaitu enjin diesel empat silinder 2.2 liter dan 3.2 liter lima silinder Duratorq TDCi generasi terkini serta enjin petrol 2.0 liter EcoBoost baru.

Dilengkapi pengecas turbo dinaik taraf, sistem pancitan bahan api dan sistem kitaran semula gas ekzos untuk meningkatkan penggunaan bahan api, enjin 2.2 liter Duratorq TDCi menawarkan prestasi mengagumkan.

Dengan jangkaan penjimatan bahan api dan emisi karbon dioksida yang mendahului kelasnya, enjin ini menawarkan pelanggan gabungan terbaik dari segi penjimatan dan kuasa.

Untuk kuasa dan tork maksimum tanpa mengorbankan aspek penjimatan bahan api, Ford juga akan menawarkan enjin diesel lima silinder Duratorq TDCi bersesaran 3.2-liter.

Kedua-dua enjin diesel ini dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik 6R80 Ford enam kelajuan dengan mode manual SelectShift.

Transmisi manual enam kelajuan ini menawarkan penukaran lancar dan tepat. Satu petunjuk penukaran gear pada panel instrumen turut disediakan untuk membantu pemandu mencapai penjimatan bahan api yang terbaik.

Transmisi automatik itu pula ialah kotak gear sama digunakan pada jutaan trak Ford F-Series di seluruh dunia. Ford juga akan menawarkan enjin petrol 2.0-liter EcoBoost twin-scroll yang baru.

Enjin ini dikatakan mampu memberi penjimatan bahan api dan emisi karbon dioksida yang terbaik dalam kelasnya. Enjin dengan sistem pengecas turbo dan pancitan terus bahan api ini menawarkan kuasa dan sangat responsif.

Walaupun ringan, enjin ini berupaya menjana kuasa lebih tinggi berbanding enjin V6 bersesaran 3.5 liter. Dipadankan dengan transmisi automatik 6R80 enam kelajuan, enjin 2.0-liter EcoBoost menjanjikan penghantaran kuasa yang lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:08 AM