LALUAN sungai dan berbatu tiada masalah buat Ranger.
LALUAN sungai dan berbatu tiada masalah buat Ranger.
Lizam Ridzuan


Keupayaan trak pikap Ford Ranger dibuktikan dalam sesi pandu uji bersama media di Sabah baru-baru ini anjuran pengedar jenama itu, Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd (SDAC).

Membabitkan semua varian iaitu Wildtrak 3.2 Automatik, XLT 2.2 Automatik dan XLT 2.2 Manual, penulis dapat memandu ketiga-tiganya untuk merasakan perbezaan yang terdapat dalam setiap unit.

Media dibawa menyusuri jalan raya dari Kota Kinabalu menuju Kundasang, Bukit Kokol serta kawasan ‘off-road’ Kiulu di Tamparuli melalui Banjaran Crocker dengan laluan pelbagai selekoh tajam serta pendakian tinggi dengan konvoi lebih 10 buah Ford Ranger.

Melalui jalan raya biasa dua lorong sudah pasti perlu memintas kenderaan terutama lori yang bergerak perlahan serta laluan lasak hutan dan sungai untuk mendaki serta menuruni curam keupayaan Ford Ranger teruji terutama ke­upayaan tork.

Enjin 2.2 liter Duratorq bukan sahaja bertenaga dan mampu menjana kuasa sehingga 160 PS dan 385 Nm tork malah menjimatkan penggunaan bahan api.

Sistem transmisi automatik atau manual menghasilkan kuasa pada tahap terbaik digabungkan dengan teknologi Kawalan Menuruni Bukit dan Hill Launch Assist hanya menekan satu butang dan kenderaan bergerak dengan kawalan minimum.

Ditambah dengan teknologi Stereng Dibantu Kuasa Elektrik (EPAS) menjadikan ia mudah dikawal ketika memandu di selekoh tajam, kelajuan perlahan dan tinggi lebih stabil pada laluan lurus.

Apabila penulis diberi peluang memandu WildTrak 3.2 liter varian tertinggi untuk Ford Ranger pula, boleh disimpulkan ia melengkapi segalanya daripada bahagian luaran sehingga dalaman sebuah trak pikap.

Enjin 3.2 liter Duratorq mencecah 200 PS dan 470 Nm sesuai untuk pelbagai tujuan pemanduan terutama menunda kenderaan berat boleh digalas oleh model ini dan kuasa diesel TDCi lima silinder mempunyai sistem kitaran semula gas ekzos untuk meningkatkan kecekapan enjin berkenaan.

Memandu model ini bagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), selesa dan prestasi lebih bertenaga serta bahagaian dalaman yang dilengkapi dengan pelbagai sistem pintar.

Sistem Snyc 2 memaparkan skrin sentuh definisi tinggi bersaiz lapan inci bagi memudahkan kawalan pendingin hawa dan hiburan serta pelbagai kemudahan lain seperti Teknologi Bantuan Pemandu.

Ciri-ciri lain menarik yang terdapat untuk WildTrak seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Alert dan Lane Keeping Aid, Electronic Stability Control dan Rollover Mitigation menjadikan kenderaan itu dilengkapi dengan ciri keselamatan terbaik.

Secara keseluruhan setiap model ternyata lasak dan sesuai untuk kegunaan jalan raya atau lasak dengan ciri-ciri keselesaan terbaik, mampu mengharungi pelbagai permukaan jalan dengan sistem dan teknologi yang tersedia.

Ford Ranger ditawarkan pada harga RM137, 488 (WildTrak 3.2 liter Automatik), RM119, 238.00 (3.2 liter XLT Automatik) RM111, 808 (3.2 liter XLT Manual) RM109, 688 (2.2 liter XLT Automatik) dan RM102,268 (2.2 liter XLT Manual) dengan semua harga atas jalan tanpa insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:00 AM