AFP

Shanghai: Bekas penyerang Manchester United dan Manchester City dari Argentina, Carlos Tevez (gambar) bersetuju menyertai Shanghai Shenhua dalam perjanjian lumayan terbaharu membabitkan kelab China, menurut kelab itu semalam sekali gus menjadikannya pemain bola sepak dengan gaji termahal.

Pembelian pemain berusia 32 tahun dari kelab Buenos Aires, Boca Juniors itu akan mengukuhkan barisan serangan pasukan, menurut Shenhua dalam akaun media sosial.

“Kelab ini tidak sabar menanti kehadiran Tevez membantu Greenland Shenhua menyerang bandar raya domestik dan Asia sekali gus menyumbang kepada lebih banyak perlawanan menarik buat peminat,” menurutnya, yang menganggap Tevez ‘penyerang paling mengagumkan dalam sejarah Argentina.’

Ia tidak mendedahkan nilai perpindahan itu, namun media Argentina sebelum ini melaporkan Tevez akan menerima AS$84 juta (RM376 juta) dengan kontrak dua tahun sekali gus 20 kali ganda daripada pendapatan sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, Boca berterima kasih kepada Tevez, yang beraksi kali kedua di kelab itu dengan menjaringkan 25 gol dalam 56 perlawanan termasuk dua gol ketika menang aksi Clasico 4-2 ke atas musuh tradisi mereka River Plate awal bulan ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:27 AM