Afiq Hanif


Sepanjang 2016, ratusan gajet memasuki pasaran negara ini.

IT@Metro senaraikan 14 gajet pilihan kami dengan ada antaranya berjaya direbiu dan memperoleh hasil yang mengagumkan.

Microsoft Surface Pro 4

Surface Pro 4 menggambarkan segala-galanya yang elok mengenai Microsoft apabila mempunyai ciri baik termasuk reka bentuk, kombinasi pemprosesan dan perisian pantas serta mesra pengguna selain mudah dibawa ke mana saja.

Secara tidak langsung, peranti ini bersesuaian untuk individu bekerja dengan sejumlah spesifikasi yang berat, namun masih boleh memuatkan laptop atau tablet ini dalam beg tanpa membebankan diri.

ASUS ZenPower Pro

ASUS ZenPower Pro mempunyai rekaan yang ringkas dan minimalis namun saiznya berukuran seakan-akan kad ATM anda memang mudah dibawa ke mana saja.

Ia membawa kapasiti sehingga 10500mAh sekali gus paling tinggi jumlahnya berbanding model lain pada saiz hampir sama selain mempunyai dua slot port USB dengan lampu LED pada permukaan sama sebagai indikator.

Samsung Galaxy S7 edge

Pengenalan Samsung Galaxy S7 edge sudah pasti memberi kepuasan kepada pengguna apatah lagi dengan versi kedua lengkung kiri dan kanan yang penuh memberi nafas baru kepada banyak ciri boleh masuk.

Namun uniknya, ia mempunyai imej kualiti tinggi, tidak kira siang atau malam malah lokasi bersama kemampuan kamera pula lebih baik apabila apertur seluas f1.7 memasukkan lebih banyak cahaya untuk merakam lebih jelas dalam situasi yang gelap.

Marshall Major II

Fon kepala Marshall model Major sememangnya peranti dipasang di telinga yang selesa, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.

Model Major II juga tidak terkecuali, berbanding Major I sebelum ini, model kedua mempamerkan peningkatan baik dengan reka bentuk sempurna serta klasik di samping bunyi menjadikan nilai pada harga RM599 memang berbaloi dan lebih murah berbanding jenama yang ‘overrated’.

DJI Osmo

Percubaan pertama DJI memperkenalkan ‘gimbal’ sebaris dengan kamera aksi lain ternyata membuahkan hasil melalui Osmo.

Osmo mempunyai empat komponen, gimbal Zenmuse X3 3-axis dengan kamera, pemegang ergonomic dengan butang kawalan, bateri 10.8Wh dan pemuat telefon pintar jadi berat keseluruhan tanpa telefon hanya 538 gram.

Acer Predator 15

Sebelum kedatangan versi 17, Acer Predator 15 yang memanglah ‘awesome’. Meskipun saiznya besar, ia lebih nipis dan ringan berbanding model sebelum ini serta rekaan modennya nampak cantik.

Predator 15 penuh dengan ciri tradisional masih mempunyai ruang cakera keras dan RAM yang banyak. Ditambah pula pemprosesan Intel Skylake baru digabungkan dengan grafik NVIDIA mengagumkan manakala sistem penyejukan pula lebih kemas menjadikan peranti ini beroperasi lancar meskipun tempoh permainan lama.

Fitbit Blaze

Fitbit Blaze, sebuah jam pintar daripada syarikat yang dipercayai memasarkan peranti kecergasan dan Blaze adalah percubaan menawarkan segmen jam pintar kepada pengguna.

Blaze kelihatan lebih kepada jam pintar berbanding peranti pengesan kecergasan yang biasa dihasilkan Fitbit mempunyai tali 1.2 inci dengan skrin 240 x 180 piksel dan jamnya boleh ditanggalkan daripada tali bersama rekaan kerangka logam sertabertekstur getah.

ASUS Zenfone 3

Apa yang bagusnya mengenai telefon baru ASUS ZenFone 3 ini terletak pada rekaan premium dan bahan buatannya memang ‘superb’ tapi harganya tidak mahal seperti produk flagship lain.

Telefon pintar pada harga RM1,699 yang patut diberi tumpuan kerana prestasinya agak laju daripada mengubah satu aplikasi ke aplikasi lain atau memainkan video dan bersosial pada satu-satu masa.

Sharp Z2

Apabila memperoleh peluang memegang Sharp Aquos Z2, ia tidak mengecewakan apabila SoC jenis MediaTek Helio X20 deca core memberi kuasa mudah alih optimum yang padan dengan RAM 4GB ditawarkan.

Helio X20 mampu mengoperasikan dua core dalam CPU Cortex-A72 2.3GHz dengan baik, sekali gus menghasilkan prestasi tinggi selain ditambah core lagi untuk Cortex-A53 2.0GHz dan 1.4GHz benar-benar menambah keupayaan telefon anda.

Logitech K380 Bluetooth Multi Device

Logitech K380 Bluetooth Multi Device menjadi papan kekunci tanpa wayar yang boleh disambungkan ke pelbagai peranti yang menyokong standard penyambungan Bluetooth 3.0. Ia juga menyokong penggunaan peranti di atas berbilang platform merangkumi Windows, Mac, Chrome OS, Android dan iOS.

Kita tahu pengguna tegar teks di atas peranti telefon bimbit mahupun tablet mudah meng­gunakan kekunci maya di atas skrin peka sentuhan, tapi ia tidak mudah dilakukan dengan cepat dan terlalu banyak ralat atau salah ejaan.

Samsung Gear S3

Samsung melancarkan jam pintar Gear S3 dengan dua versi, Frontier dan Classic yang mengekalkan bezel boleh putar untuk kawalan menu jam.

Skrinnya dilengkapi paparan 1.3 inci Super AMOLED dan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass SR+ yang direka khas untuk peranti boleh pakai lebih tahan lasak dan tahan calar.

Huawei P9

Huawei P9 hadir dengan rekaan yang mengekalkan elemen keluarga peranti Huawei lain dan memberi tiga fokus auto hibrid kamera yang mampu merakam gambar lebih cepat dan tidak kabur mengejutkan pengguna dengan kerjasama Leica.

Penggunaan dwikamera pada bahagian belakangnya membuatkan Huawei P9 dapat menawarkan kualiti rakaman gambar yang cantik melalui kamera telefon pintar pada pelbagai keadaan cahaya dan resolusi terbaik.

Xiaomi Mi Mix

Xiaomi Mi Mix menjadi phablet dengan faktor ‘wow’ apabila sekali pandang memang tidak akan kelihatan dinding telefon kerana ia seolah-olah paparan imej terapung menyerlahkan imej cantik pada skrin.

Mana tidaknya, telefon ini datang dengan nisbah paparan sehingga 91.3 peratus yang menonjolkan tahap inovasi dalam aspek skrin depan tanpa bezel.

Huawei Mate 9

Mate 9 mempunyai keupayaan kekal beroperasi laju walaupun selepas 18 bulan menggunakannya. Bateri mampu bertahan selama 1.7 hari untuk penggunaan aktif dan ia bo digunakan sehari hanya selepas mengecasnya selam 30 minit.

Berbanding mode P9, dwikamera generasi kedua Leica membolehkan resolusi sehingga 12 megapiksel untuk RGB manakala fungsi monokro pula, 20 megapiksel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 5:57 AM