ZENFONE 7 Pro
ZENFONE 7 Pro
Muhammad Saufi Hassan

SYARIKAT gergasi elektronik, ASUS memperkenalkan telefon pintar terbaharu keluarannya iaitu Zenfone 7 yang memiliki dua variasi berbeza mengikut padanan spesifikasi yang baik.

Kedua-dua peranti berkenaan adalah Zenfone 7 dan 7 Pro menggunakan tetpan kamera berputar 180 darjah bagi penggunaan kamera utama dan swafoto.

Zenfone 7 Pro memiliki spesifikasi yang baik apabila menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 865+ dengan padanan memori (RAM) 8GB rekaan LPDDR5 bagi memastikan kelancaran setiap aplikasi.

Keluasan skrin peranti berkenaan adalah 6.67 inci dengan skim paparan AMOLED Definisi Tinggi Dipertingkatkan (FHD+) serta menyokong HDR10+ seperti kebanyakan model peranti kelas perdana ketika ini.

Jumlah storan pula sebanyak 256GB UFS 3.1 dan didatangkan dengan bateri 5,000mAh serta kelengkapan pengecas 30W.

Peranti ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama dilengkapi sensor 64MP, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto dengan sokongan sensor OIS untuk kestabilan imej rakaman.

ASUS Zenfone 7 Pro ini berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 8K dengan tetapan 30 kadar segar semula (FPS) dan rakaman 4K pada 120FPS.

Bagi variasi Zenfone 7 pula, ia mempunyai spesifikasi yang sama namun perbezaan adalah padanan pemproses ditukar dengan Snapdragon 865, storan hanya 128GB dan kamera yang tidak dilengkapi sistem penstabilan OIS.

ASUS bakal melancarkan peranti ini untuk pasaran tempatan tidak lama lagi dan ia mungkin mempunyai tanda harga sekitar RM3,000.

SPESIFIKASI ZENFONE 7 PRO

• PEMPROSES: Qualcomm Snapdragon 865+

• RAM: 8GB LPDDR5

• STORAN: 256GB UFS 3.1

• BATERI: 5,000mAh

• FUNGSI: Kamera berputar 180 darjah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 8:53 PM