TELEFON pintar pilihan terkini; Huawei P20 (kiri), Samsung Galaxy Note S9 dan Oppo R17.
TELEFON pintar pilihan terkini; Huawei P20 (kiri), Samsung Galaxy Note S9 dan Oppo R17.
Afiq Hanif


SEPANJANG 2018, ratusan gajet memasuki pasaran negara ini. IT@Metro senaraikan 10 gajet pilihan kami dengan ada antaranya berjaya direbiu dan memperoleh hasil yang mengagumkan.

1. Telefon pintar tahun ini

MENCUBA Samsung Galaxy Note9 membangkitkan keterujaan memandangkan siri Note itu mempunyai sejarahnya tersendiri.

Meskipun tidak dapat mencuba versi slot dalaman 512GB di samping slot kad microSD menjangkau 1TB dengan model Galaxy Note9, ia masih cukup dengan versi 6GB+128GB. Note 9 dijual pada harga RM4,699 (8GB+512GB) dan RM3,699 (6GB+256GB) ketika ia dikeluarkan.

Pujian pertama diberikan berdasarkan bateri 4000mAh yang cukup selesa digunakan seharian bagi tempoh lama dan aktif pula dengan pelbagai aktiviti seperti media sosial serta bermain game Fortnite.

Tidaklah panas bateri apabila bermain permainan bagi tempoh lama jadi penguji tidaklah begitu risau.

Tapi, paling ditunggu, S Pen yang terus menjadi nadi dengan fungsi ditambah Bluetooth untuk beberapa kegunaan seperti berupaya menjadi pengawal atau butang shutter kepada kamera jika ia diletakkan sejauh 10 meter sekali pun.

Itulah yang digunakan penguji, letakkan fon anda di tripod dan gunakan S Pen sebagai alat kawalan untuk merakam wefie, jadi tak perlu menekan butang ‘Timer’ atau berlari ke kumpulan untuk gambar bersama.

Untuk mengecas S Pen pula, hanya cukup dengan masukkan kembali ke slot dalam telefon selama 30 saat.

Dengan sokongan Bluetooth Low-Energy (BLE), S Pen baharu itu berkeupayaan untuk menyampaikan cara baru dalam mengendalikan Note9.

Bagi kamera pula dengan dua lensa pada kamera, satu sudut lebar dan satu lagi telefoto pada resolusi 12MP+12MP. Kamera depan pula 5MP pada f1.7.

Rakaman foto dan video seperti biasa memang hebat dan cukup untuk kegunaan sebagai kamera harian ditambah pula gabungan bersama S Pen untuk tambahan Doodle pada mana-mana foto yang dirakam.

Selain itu, ia juga diperhebatkan dengan kamera pintar yang mampu mengesan sehingga 20 elemen dalam sesebuah gambar dirakam dan memberikan hasil fotografi yang dinamik dan warna jelas.

2. Telefon dengan kamera mengagumkan

JIKA sebelum ini Huawei P20 dinobatkan telefon pintar dengan kamera terbaik daripada DxOMark untuk kedua-dua model P20 dan P20 Pro, baru-baru ini ia dinobatkan pula sebagai Foto Peranti Pintar Terbaik dalam anugerah yang dianjurkan TIPA Award 2018.

Kejayaan ini sekali gus menewaskan empat pencabar terdekat P20 iaitu Samsung Galaxy S9+, Google Pixel 2, Huawei Mate 10 Pro dan iPhone X.

Menurut DXOMark Mobile, P20 Pro merekodkan 109 markah, P20 dengan 102 markah manakala Samsung Galaxy S9+, Google Pixel 2, Huawei Mate 10 Pro dan iPhone X masing-masing mencatatkan markah 99, 98, 97 dan 97.

Kemunculan P20 dengan reka bentuk mantap bersama sistem tri-kamera dengan kerjasama Leica membuah hasil apabila dilihat mampu menawarkan peranti pintar terbaik kepada penggunanya.

Tambahan pula, gabungan kamera 40MP, 20MP dan 8MP adalah konfigurasi pertama digunakan pada telefon pintar.

Daripada aspek spesifikasi lain, P20 dan P20 Pro mempunyai 40GB sensor RGB, 20MP sensor monokrom dan 8MP sensor telefoto.

TIPA yang lebih dikenali sebagai Technical Image Press Association adalah persatuan terdiri daripada penyunting profesional dari Eropah, Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Asia.

Antara lain, TIPA turut membabitkan penglibatan amatur dan penerbitan dalam bidang cetakan serta dalam talian.

3. Telefon kamera depan

Oppo memperkenalkan model telefon R17 Pro dengan harga RM2,699 yang memberi penyelesaian kepada masalah fotografi malam.

Direka khas dengan perincian yang mengutamakan kualiti maksimum gambar dalam situasi gelap dan bercahaya rendah.

Menampilkan bukaan pintar dan perisian AI Ultra-Clear Engine bertindak sebagai enjin produksi imej, kelebihan ini disokong penciptaan kamera depan 25 megapiksel, sensor Sony IMX576 dengan bukaan f2.0 dilengkapi real-time HDR serta mod Ultra Night.

RAZER Phone 2
RAZER Phone 2

4. Telefon game

RAZER Phone 2 tidak memasuki pasaran Malaysia secara rasmi tapi ia generasi terbaru daripada model sebelumnya yang dikeluarkan tahun lalu. Jika dilihat dari aspek luarannya, tidak banyak perbezaan ketara dengan model terdahulu.

Ia mempunyai paparan yang sama iaitu 5.72 inci dengan panel IGZO LCD berserta resolusi 2560 x 1440 piksel.

Untuk model ini, Razer meningkatkan kecerahan skrinnya sehingga 50 peratus lebih tinggi selain turut menyokong HDR.

Di bahagian depan peranti itu terdapat dua pembesar manakala kamera depannya 8 megapiksel dengan lensa sudut lebar f2.0 yang mampu merakam gambar pada kualiti 1080p60.

Terdapat dwikamera Sony IMX363 20 megapiksel bersama OIS dan telefoto 8 megapiksel pada peranti yang hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 selain RAM 8GB LPDDR4X dan storan 64GB.

5. Telefon bateri hebat

IT@Metro bawakan sebuah telefon yang mempunyai bateri 5000mAh, ASUS Zenfone Max Pro (M1).

Pada segmen pertengahan, Zenfone Max Pro dengan Snapdragon 636 sangat hebat untuk permainan namun sayang, kemampuan kamera pada ‘low light’ kurang baik.

Mengambil tema ‘Permainan tanpa batas’, ASUS membawa Zenfone Max Pro (M1) ke Malaysia bermodalkan set cip, skrin penuh FullView 5.99 inci HD+ dan nisbah aspek 18:9 di samping bateri berkapasiti 5000mAh yang tahan lama.

Bahagian skrin mempunyai nisbah 18:9 yang sangat standard untuk fon pada zaman moden sekarang, lengkap dengan gelas lengkung 2.5D yang agak melengkung tepi.

Badan Zenfone Max Pro tersusun atas bahan aluminium logam dengan dimensi 159 x 76 x 8.5mm dan berat 180 gram.

Jujurnya, badannya yang agak tebal itu sudah pasti terkesan dengan bateri 5000mAh yang tertanam di dalam.

6. Laptop pilihan (ACER PREDATOR HELIOS 300)

APABILA memilih dekstop atau laptop game, perkara paling sukar dilakukan adalah mahu ‘customise’ untuk kemas kini aksesori tertentu. Namun, Acer Predator Helios 300 mempunyai trend baru yang membolehkan papan pemuka untuk akses kepada RAM dan cakera keras.

Hasilnya, anda boleh tukar kedua-duanya dengan mudah ditambah paparan jenis 1080p yang cukup untuk anda tinggalkan monitor sebuah desktop manakala GPU GTX1060 pula sudah cukup berkuasa untuk mengoperasikan mana-mana game.

Acer Predator Helios 300 mempunyai rekaan cantik dengan barisan merah di pad laptop, butang kekunci berlampu dan dua di sisi perkataan Predator di belakang yang menyala.

Bahan buatan dan bahagian papan kekunci direka plastik dan anda perlu faham, saiz 17.3 inci yang diuji ini memang besar tapi puas bermain game meskipun mungkin sedikit tebal.

Papan kekuncinya jenis ‘island’ yang mana butang WASD juga mempunyai rekaan khas.

Berdasarkan paparan 1080p, Acer Predator Helioss 300 cantik dan mempunyai kecerahan baik. Penguji mencuba beberapa permainan dan menonton YouTube yang mana anda boleh nampak perincian sekiranya visual berformat HD.

7. Router terbaik (D-LINK AC2600)

JANTUNG kepada sambungan Internet tanpa wayar tentunya terletak kepada peranti yang membolehkan pengguna mencapai gelombang untuk menerima jalur lebar dalam kawasan setempat seperti di rumah atau kafe tertentu.

IT@Metro bernasib baik kerana dapat menguji produk router daripada D-link iaitu model D-Link AC2600 EXO MU-MIMO Dual Band Gigabit.

Mungkin kebanyakan pengguna akan tertanya-tanya fungsi penggunaan model sebegini dalam kehidupan seharian kerana ada yang kurang arif dalam bidang teknologi.

Ia digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih rangkaian dan subrangkaian tanpa wayar memandangkan kebanyakan pengguna memiliki lebih daripada satu komputer peribadi (PC) di rumah.

Jangan panik atau gusar apabila anda membeli produk ini kerana berpendapat pengetahuan teknologi maklumat (IT) anda sangat terhad kerana ia mudah dipasang sendiri.

Penguji agak tidak percaya pada awalnya apabila memegang produk ini kerana ia nampak macam terlalu besar dalam gambar tapi hakikatnya, saiz yang berpadanan.

Warna hitam dengan reka bentuk ala kapal angkasa moden ini tentunya menarik yang mampu menghilangkan rasa bosan seperti kebanyakan reka bentuk router lain di pasaran.

8. Tablet terbaik (iPAD PRO 2018)

IPAD Pro baru tidak lagi mempunyai butang Home (semuanya skrin penuh) dan ia datang dengan dua saiz iaitu 11 inci dan 12.9 inci manakala paparannya berformat Liquid Retina Display.

Terdapat fungsi Face ID yang memasang juga sistem keselamatan paling selamat berbanding semua komputer di dunia.

Berdasarkan pemprosesan A12X Bionic 7nm cip dan 10 bilion transistor, iPad Pro baru mengoperasi 35 peratus CPU lebih pantas berbanding model lama serta 92 peratus lebih laju berbanding mana-mana PC di dunia yang dijual sejak setahun lalu.

Apple Pencil juga menampilkan kelainan dengan tahap ketepatan lebih tinggi dan ia boleh diletakkan di atas iPad secara magnetik apabila iPad dipasang secara melintang.

Ia sekali gus mengelakkan masalah keciciran Apple Pencil yang kerap berlaku sebelum ini.

9. Kamera (FUJIFILM X-A5)

FUJIFILM mengeluarkan model kamera mirrorless, X-A5 yang mempunyai sensor 24.2 megapiksel menampilkan reka bentuk retro dengan ciri kontemporari.

Dengan skrin yang boleh diputarkan, ia juga kamera retro sesuai untuk swafoto dengan lensa baru Fujinon XC15-45mm F3.5-5.6 OIS PZ.

Kamera X-A5 hanya seberat 496 gram (g), ia menawarkan 11 pilihan mod simulasi filem unik Fujifilm selain 17 pilihan filter lanjutan termasuk ciri baru ‘hilangkan kabus’ dan ‘Seni HDR’.

Model ini juga mampu merakam video 4K.

10. Aksesori kesihatan (XIAOMI MI BAND 3)

XIAOMI memperkenalkan peranti boleh pakainya, Mi Band 3 yang berharga hanya RM129.

Ia bertindak mengesan tahap kesihatan anda dan memantau tidur yang dihasilkan melalui cip Bluetooth dan ‘accelerometer’ paling canggih serta hanya perlu dicas sekali dalam masa 20 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:30 PM