Jakarta: Seorang wanita bakal menjadi pengebom berani mati yang ditangkap minggu lalu sehari sebelum dia melakukan serangan di bandar raya ini berkata semalam, dia menerima arahan daripada Bahrun Naim, warga Indonesia yang kini bersama-sama kumpulan Daish di Syria.

Dian Yulia Novi dan suaminya, Nur Solihin adalah antara empat suspek militan yang ditangkap Sabtu lalu selepas polis mengesan rancangan mereka untuk menyerang majlis pertukaran pengawal di Istana Presiden.

Penduduk di satu kawasan kejiranan dipindahkan selepas bom ditemui.

Polis mengesyaki empat orang itu anggota rangkaian militan yang bertanggung jawab terhadap makmal membuat bom di Jawa Barat yang beroperasi atas arahan Naim.

Dian yang pernah bekerja di Singapura dan Taiwan berkata daklam wawancara dengan stesen televisyen TVOne yang disiarkan semalam berkata, dia belajar mengenai jihad di media sosial seperti Facebook.

Pembabitan secara aktif seorang wanita dalam rancangan pengeboman itu adalah perkembangan terbaru dalam fahaman radikal di Indonesia.

Bom seberat tiga kilogram yang hendak digunakan Dian dirancang diletup di tengah orang ramai yang berkumpul untuk menyaksikan acara pertukaran pengawal presiden, antara tarikan popular di Jakarta. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 8:22 AM