RAHMAD (tengah) kekal teraju Titans hingga 2018.
RAHMAD (tengah) kekal teraju Titans hingga 2018.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: T-Team sah akan mengekalkan jurulatih kelahiran Metro Lampung, Rahmad Darmawan selepas jurulatih itu berjaya mengemudi pasukan yang terkenal dengan jolokan Tibang T-Team Tibang itu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, persetujuan itu dicapai antara kedua belah pihak selepas hasil perbincangan Isnin lalu di Kuala Terengganu.

“Kami bersetuju untuk menyambung kontrak jurulatih Rahmad selama dua tahun lagi hingga 2018 dalam misi untuk merangkul sekurangnya-kurangnya satu trofi daripada tiga piala yang dipertandingkan.

“Selain Rahmad, turut disambung kontrak hingga 2018 adalah penolong jurulatih Mohd Azhari Salim dan Satia Bagdja serta jurulatih penjaga gol Kurnia Sandy dan jurulatih kecergasan Rasiman Siregar.

“Kami harap keputusan mengekalkan barisan jurulatih itu mampu memberi impak lebih baik kepada pasukan apatah lagi The Titans akan beraksi dalam saingan Liga Super,” kata Syahrizan.

Mengenai pemilihan pemain import beliau memaklumkan pengurusan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru kerana tarikh akhir pendaftaran pemain masih panjang iaitu hingga 22 Januari depan.

“Bagaimanapun beberapa pemain import kini sudah berada dalam kem pasukan untuk diuji termasuk dari Cameroon dan Uzbekistan selain ada beberapa lagi pemain yang akan tiba untuk dinilai.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 9:23 AM