PEMAIN Titans yang kontraknya tamat bulan ini perlu fikir pasukan baharu.
PEMAIN Titans yang kontraknya tamat bulan ini perlu fikir pasukan baharu.
Faizul Azlan Razak


PEMAIN T-Team yang kontraknya bakal berakhir bulan ini, kini bingung memikirkan pasukan baharu yang bakal disertai dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ini berikutan hanya terdapat 11 pemain skuad The Titans itu, difahamkan bakal diserapkan ke dalam pasukan baharu dikenali Terengganu FC II (TFCII) beraksi dalam Liga Perdana.

Penolong Jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim berkata pemain yang kontraknya tamat hujung bulan ini akan membawa haluan masing-masing mencari pasukan baharu.

“Beberapa pemain T-Team sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan pasukan TFC I mengharungi saingan Liga Super di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim musim depan.

“Malah, pemain yang diserapkan ke dalam pasukan TFC II pula akan mula menjalani latihan persiapan pra musim bermula minggu depan,” katanya yang ditemui pada sesi latihan terakhir pasukan T-Team di padang Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, petang tadi.

Latihan terakhir itu juga bagaikan majlis perpisahan pemain dengan barisan kejurulatihan dari Indonesia terdiri daripada penolong ketua jurulatih, Satia Bagdja Ijatna; jurulatih kecergasan, Rasiman dan jurulatih penjaga gol, Kurnia Sandy.

Tiga jurulatih itu mengikut jejak ketua jurulatih, Rahmad Darmawan yang menolak tawaran membimbing TFC II dalam kancah Liga Perdana musim depan.

Dalam pada itu, Mohd Azhari berkata kedudukannya juga masih belum diputuskan kerana setakat ini tidak ada pelantikan baharu barisan kejurulatihan pasukan TFC II.

“Justeru, saya serahkan kepada pihak pengurusan, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan sama ada dikekalkan atau sebaliknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 11:46 PM