RAHMAD  (dua dari kiri)  pada majlis menandatangani kontrak di Indonesia.
RAHMAD (dua dari kiri) pada majlis menandatangani kontrak di Indonesia.

Kuala Terengganu: Skuad berstatus kelab T-Team mensasarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2017 selepas mengikat jurulatih kelab Persija Jakarta Rahmad Darmawan untuk membimbing pasukan itu musim depan.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, kehadiran bekas pemain kebangsaan Indonesia itu diharap mampu memberi nafas baru kepada The Titans.

Beliau berkata, jurulatih berusia 48 tahun itu yang menjadi buruan T-Team sejak akhir tahun lalu adalah calon paling sesuai untuk menggantikan pengendali musim ini Tomislav Steinbruckner yang tidak disambung kontrak.

“Jurulatih kelahiran Lampung Indonesia yang diikat selama semusim itu akan memulakan tugas secara rasmi melatih skuad The Titans pada 1 Disember dan pihak pengurusan berharap bekas pemain tengah Indonesia itu mampu melonjakkan pasukan ke Liga Super musim 2017,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Syahrizan berkata, pengurusan T- Team turut mengikat dua pemain import baru dari Mali dalam misi memantapkan lagi pasukan untuk saingan di Liga Perdana.

Beliau berkata, bekas pemain kelab Persib Bandung Makan Konate yang akan beraksi di posisi tengah menjadi pilihan untuk menambah sengat jentera depan pasukan.

“Seorang lagi pemain dari Mali Abdoulaye Youssouf Maiga yang sebelum ini beraksi bersama kelab Sriwijaya Indonesia di bahagian pertahanan juga menjadi pilihan The Titans.

“Makan, 24, dan Abdoulaye, 27, bakal menjadi taruhan T-Team dalam memburu impian ke pentas Liga Super selain mengharapkan sentuhan pengendali baharu Rahmad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:06 AM