FOTO Rahmat Othman
FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Keda Bukit Ular, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Kebakaran pada kira-kira 12 tengah malam itu turut menyebabkan Perodua Viva dan dua motosikal hangus.

Difahamkan, ketika kejadian itu lima penghuni rumah terbabit iaitu seorang wanita berusia 52 tahun, anak perempuan, 31; menantu lelaki, 31; anak lelaki, 20-an dan cucu perempuan berusia dua tahun tiada di rumah kerana ke rumah seorang lagi anaknya di Alor Setar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafizie Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.16 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggotanya dari BBP Kuala Nerang dan BBP Jitra tiba di lokasi, pada 12.37 tengah malam.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan 11 anggota yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Syuib Idris dan turut dibantu dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pokok Sena dan Seberang Nyonya.

"Api dikawal pada 12.45 tengah malam dan dipadam sepenuhnya 3.07 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 3:19 PM