MUHAMMAD Sauffi (tengah) dan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed (empat, kiri) bergambar bersama penjaja dan peniaga. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sauffi (tengah) dan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed (empat, kiri) bergambar bersama penjaja dan peniaga. FOTO Bernama
Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan lebih tegas dalam usaha membendung kebanjiran penjaja warga asing di sekitar ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin berkata, antara langkah drastik adalah mewujudkan sistem pengawalan, penguatkuasaan dan pemantauan lebih mantap bersama agensi kerajaan lain.

“Kita akan menubuhkan pasukan khas bersama Jabatan Imigresen Malaysia untuk menggempur lokasi yang dikenal pasti dimonopoli penjaja warga asing.

“Pasukan ini juga akan bertindak melaksanakan penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan membabitkan pandatang asing tanpa izin (PATI) termasuk membatalkan lesen peniaga yang didapati bersekongkol melindungi kelompok berkenaan,” katanya pada Majlis Dialog Bersama Persatuan Peniaga dan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara DBKL di sini, hari ini.

Teks ucapan itu dibacakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Muhammad Sauffi Mohd.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Menjelas lanjut, Mhd Amin berkata, DBKL juga akan mengambil langkah lebih drastik dengan memperkenalkan beberapa pendekatan baru berkaitan lesen perniagaan premis.

“Pertama kita akan mewajibkan perkongsian ekuiti perniagaan, sekurang-kurangnya 50 peratus milik warga tempatan, bermula 1 Januari depan.

“Kedua, kita juga mewajibkan semua majikan premis perniagaan mengambil pekerja tempatan sekurang-sekurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja.

“Usaha membanteras warga asing ini akan dilaksanakan secara habis-habisan bagi membendung isu yang membelenggu negara ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, masalah kebanjiran warga asing di negara ini tidak boleh dibebankan kepada kerajaan, agensi dan penguatkkuasa semata-mata.

“Daripada kajian yang kita buat, didapati bahawa wujud sokongan daripada orang tempatan sendiri yang membawa masuk tenaga kerja tanpa permit termasuk pembantu rumah, pekerja binaan dan perladangan.

“Ini berlaku sama ada kerana hendak mengaut untung atau lari dari cukai levi yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 7:55 PM