DUA suspek ditahan dipercayai menunggang dan membonceng motosikal curi. FOTO ihsan Polis
DUA suspek ditahan dipercayai menunggang dan membonceng motosikal curi. FOTO ihsan Polis
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Polis menahan remaja dan kanak-kanak dipercayai menunggang dan membonceng motosikal curi dalam operasi membanteras lumba haram dan pencegahan jenayah di sekitar bandaraya ini, hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, suspek berusia 18 tahun yang menunggang motosikal curi turut didapati positif dadah jenis ampethamine.

Katanya, suspek ditahan bersama rakan sekampungnya berusia 12 tahun dan siasatan awal mendapati kedua-dua mereka berasal dari Teluk Chengai, Jalan Kuala Kedah, di sini, dan ditahan di Jalan Pegawai, di sini.

"Kedua-dua suspek ini ditahan pada 1.10 pagi selepas polis membuat pemeriksaan terhadap motosikal yang dinaiki dan hasil pemeriksaan menerusi sistem polis mendapati motosikal itu pernah dilaporkan dicuri pada 8 September lalu.

"Selain itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut ditahan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana menunggang secara berbahaya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, operasi yang disertai 14 anggota dan seorang pegawai polis itu turut mengeluarkan 55 saman selepas pemeriksaan terhadap 145 orang membabitkan 100 motosikal dan 33 kereta.

"Daripada jumlah itu, enam motosikal termasuk sebuah kereta disita kerana tidak mempunyai cukai jalan.

"Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek curi terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Foto ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 2:02 PM