YASMIN berucap pada taklimat, semalam.
YASMIN berucap pada taklimat, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan sehingga 2,000 peserta eUsahawan untuk menyertai platform eU@Marketplace menjelang 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, program eU@Marketplace ini diwujudkan bagi memberi peluang peserta meningkatkan pemasaran produk.

“Perkembangan teknologi maklumat dilihat sebagai pemangkin kepada perniagaan dan usaha ini diharap dapat memberi kelebihan kepada usahawan mikro untuk menjangkau pasaran luar,” katanya pada sidang media mengenai eU@Marketplace, di sini, semalam.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dijalankan dengan kerjasama tujuh pengendali platform jual beli atas talian termasuk 11street.my, MyBazaar, Lelong.my dan Shopee.

“Inisiatif ini dijalankan sejak Julai lalu dan kami berharap lebih ramai peserta eUsahawan dapat menyertai program ini bagi meningkatkan jualan mereka.

“Namun, kami akan menjalankan saringan terlebih dulu untuk memadankan jenis perniagaan dan lokasi yang bersesuaian sebelum memasarkannya melalui platform berkenaan,” katanya.

Sejak dimulakan dua tahun lalu, program eUsahawan berjaya membantu meningkatkan pendapatan kira-kira 41,000 usahawan mikro dengan hasil jualan terkumpul mencecah RM26 juta.

Yasmin berkata, antara produk yang mendapat sambutan menggalakkan adalah fesyen dan aksesori, makanan dan kecantikan.

“Tiga kategori ini menjadi tumpuan peserta memandangkan kira-kira 58 peratus terdiri daripada wanita dan 82 peratus adalah golongan belia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 7:18 AM