PENIAGA perlu ubah cara menjual.
PENIAGA perlu ubah cara menjual.
ICT bermula dari muda.
ICT bermula dari muda.
ICT penting dalam kehidupan.
ICT penting dalam kehidupan.
CELIK ICT bantu usahawan.
CELIK ICT bantu usahawan.
Oleh Afiq Hanif


Selepas setahun memegang tampuk kerusi agensi berkaitan teknologi nombor satu negara, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, memperlihatkan kemajuan yang kukuh dalam Digital Malaysia, sekali gus membawa kesan positif kepada industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Malaysia.

‘Wanita Teknologi’ pertama terbabit banyak memperkenalkan program yang bukan saja memanfaatkan golongan celik gajet semata-mata, namun berjaya mengubah individu buta IT ke persada industri yang disifatkan komplikated ini.

Yasmin mengambil pendekatan mudah memperkenalkan perniagaan yang boleh dilakukan secara ‘online’ tanpa perlu keluar rumah, seterusnya membantu ramai usahawan wanita bergerak mambantu isi rumah memperoleh pendapatan tambahan.

Malah, jika sebelum ini stigma mengatakan wanita tidak pandai teknologi juga sudah boleh dihapuskan berdasarkan inisiatif MDeC.

Antaranya, edisi kempen jualan e-dagang MyCyberSale yang masuk tahun kedua membantu pengusaha industri kecil dan sederhana bernafas dalam dunia online yang mencabar.

Kenapa perlu inisiatif sedemikian? Mana tidaknya, jualan online negara adalah sebahagian langkah untuk menjadi pemangkin pertumbuhan industri e-dagang.

Tahun lalu saja, MyCyberSale menjana pendapatan sebanyak RM67 juta dan tahun ini ia menjanjikan peluang lebih besar apabila lebih 400 peniaga online mengambil bahagian termasuk di luar Lembah Klang seperti Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Ia sekali gus menyaksikan peningkatan usahawan sebanyak 40 peratus berbanding 2014.

“Adalah penting bagi industri e-dagang untuk terus berkembang dan membawa ekosistem bersama-sama agenda Digital Malaysia,” kata Yasmin kepada IT@Metro.

Digital Malaysia akan memberi manfaat kepada kerajaan, perniagaan dan rakyat, malah Yasmin bekerja keras untuk merealisasikan wawasan Digital Malaysia untuk negara yang lama menyepi di peringkat antarabangsa.

“Digital Malaysia membolehkan ekonomi digital dan memangkinkan ekosistem holistik yang menggalakkan penggunaan meluas maklumat, komunikasi dan teknologi di samping mewujudkan masyarakat berhubung,” katanya.

Ia seharusnya menjadi agenda nasional yang menarik peluang besar dicipta dunia digital untuk memanfaatkan asas pembinaan diletakkan oleh MSC Malaysia.

Sudah pasti, Digital Malaysia dibangunkan atas dasar industri ICT domestik yang bertenaga, penggunaan transformatif penyelesaian digital oleh kerajaan, perniagaan dan rakyat serta ekosistem membolehkan negara berubah lebih mantap.

Seterusnya, ia akan menghubungkan masyarakat di seluruh dunia dan membolehkan mereka berinteraksi dalam masa sebenar, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), produktiviti perniagaan dan taraf hidup.

“Keempat-empat fokus utama Digital Malaysia adalah usahawan digital yang 40 peratus daripada mereka berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,050 (Kumpulan B40), belia berusia antara 15 hingga 24 tahun dan PKS.

“Akhirnya, Digital Malaysia bertujuan memberi kesan yang meluas untuk kerajaan, perniagaan dan rakyat di seluruh negara,” tegasnya.

Antara program yang digariskan pasukan di MDeC termasuk aktiviti ‘crowdsourcing’ iaitu kerja tertentu boleh dipamerkan secara ‘online’ bagi membantu golongan dalam Kumpulan B40 dalam piramid pendapatan meningkatkan taraf kehidupan.

Inisiatif kerajaan dikenali e-Rezeki terbabit membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan purata RM6,000 setahun menjelang 2020.

e-Rezeki dilaksanakan di beberapa Pusat Kerja Digital termasuk Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi Bandar (UTC), kolej dan universiti serta masjid untuk memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah di dalam dan luar bandar.

Ia termasuk satu siri Program Keupayaan Digital yang akan melatih dan memadankan 400,000 ahli komuniti B40 dengan keupayaan melakukan tugas mikro daripada sumber dalam dan luar negara, sekali gus membantu mereka mendapat pendapatan tambahan purata RM6,000 setahun menjelang 2020.

Yasmin berkata, projek percubaan membabitkan e-Rezeki yang dimulakan mendapat maklum balas memberangsangkan daripada ahlinya.

“Ada suri rumah yang menyertai program mampu membawa pulang pendapatan tambahan RM300 hingga RM600 dengan kerja ringkas, sekali gus mampu menyara keluarga meskipun nilainya tidak terlalu tinggi.

“Kerja sambilan diperoleh daripada Internet yang menghubungkan komuniti meskipun anda tidak pakar teknologi,” katanya.

Satu lagi inisiatif ‘Merakyatkan Ekonomi Digital’ untuk B40 termasuk memberi kuasa mikro-perusahaan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan dengan meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka melalui kaedah digital.

“Di bawah agenda peningkatan kemahiran ini, kita mempunyai dua program utama iaitu e-Usahawan dan GroomBig,” kata Yasmin.

Bagi program e-Usahawan itu, MDeC dan institusi latihan teknik dan vokasional (TVET) seperti institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti menerapkan pemasaran digital sebagai modul dalam kurikulum mereka.

“Pada tahun 2020, sasaran program untuk me­nyepadukan modul e-Usahawan di 13 institusi TVET dengan 150,000 graduan TVET mempunyai kehadiran online dan 50,000 graduan TVET yang akan mendapatkan tambahan 20 peratus pendapatan purata mereka.

Di peringkat komuniti, program perintis e-Usahawan bermula di Jeli, Kelantan sejak Mei 2015 dilaporkan berjaya mengubah lebih 50 peratus daripada 200 usahawan mikro ­terlatih memperoleh pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM10,000.

Sementara itu, bagi program GroomBig, MDeC dan rakan industri seperti MITI, Teraju dan Amanah Ikhtiar Malaysia bergabung tenaga dalam menyediakan perusahaan mikro dengan ‘Bookkeeping Digital’ dan kemahiran pemasaran digital.

Latihan untuk kedua-dua kemahiran bermula pada tahun 2010 hingga Jun 2016 dengan 5,000 perusahaan mikro akan dilatih mengenai model perniagaan untuk meningkatkan tadbir urus kewangan mereka yang meningkatkan peluang untuk permohonan pinjaman,

Sementara itu, 1,000 perusahaan mikro akan dilatih mengenai pemasaran digital dan dilengkapi dengan kehadiran online untuk mengembangkan jangkauan pasaran.

Setakat ini, 4,224 perusahaan mikro mendapat manfaat daripada GroomBig.

Kesan yang kukuh dalam tahun pertama Yasmin sebagai ‘CEO’ MDeC berjaya menghasilkan dan melaksanakan dasar digital yang kukuh dan inisiatif digital semakin menyumbang kepada KDNK negara.

Ia selari kemampuan Malaysia yang perlu lari daripada sektor biasa seperti pertanian kepada sektor ICT yang menjadi tonggak penting dalam ekonomi negara.

Rata-rata pemerhati industri mula bercakap mengenai kemampuan Yasmin yang diragui sebelum ini, namun pengalaman beliau menerajui banyak syarikat teknologi antarabangsa seperti Microsoft, Dell dan Hewlett Packard di Malaysia memberikan beliau peluang mengubah ICT negara.

Pada masa sama, beliau berjaya menghubungkan syarikat swasta ini dengan agensi kerajaan dalam proses mendigitalkan negara.

Apabila beliau menjadi Pengarah Urusan Microsoft Malaysia antara 2006 hingga 2010, beliau melaksanakan misi ‘MeMalaysiakan Microsoft’ yang membabitkan gabungan bersama anak syarikat tempatan dengan syarikat perisian terbesar di dunia itu untuk menyelaraskan agenda kebangsaan.

Akhirnya, negara mendapat manfaat apabila Microsoft melabur di Malaysia, sekali gus mengembangkan ekosistem ICT tempatan di samping mewujudkan peluang pekerjaan di seluruh industri.

Tahun pertama Yasmin menerajui MDeC juga memberi kesan kepada industri negara apabila pendapatan ICT mencatatkan peningkatan 11 peratus bagi 2014 iaitu RM38.52 bilion.

Ia pemulihan besar daripada peningkatan kecil sebanyak tiga peratus saja pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, jumlah jualan eksport syarikat berstatus MSC Malaysia juga meningkat kepada RM13.73 bilion iaitu peningkatan 11 peratus berbanding 2013.

Bidang ICT yang meluas membolehkan Yasmin dan pasukannya kini memberi tumpuan kepada sektor data besar atau big data dan Internet bagi beberapa inisiatif strategik lain.

Pada awal tahun ini, MDeC melancarkan rangka kerja data besar bertujuan mendapat manfaat daripada gelombang sektor terbabit termasuk pembangunan bakat menggunakan data umum untuk menghasilkan aplikasi berguna, pembangunan teknologi dan mewujudkan kesedaran dalam sektor swasta serta kerajaan.

Di bawah kepemimpinan Yasmin, MDeC juga bekerja keras untuk meningkatkan syarikat MSC tempatan untuk menjadi pemain global dengan menyediakan akses pasaran kepada syarikat yang mempunyai aspirasi global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:01 AM