JKM cari waris kanak-kanak ini. FOTO ihsan JKM
JKM cari waris kanak-kanak ini. FOTO ihsan JKM
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan waris seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menghidap penyakit busung dan diselamatkan di flat di Jalan Kedah di sini, 5 Ogos lalu.

Pegawai Pelindung JKM Negeri Rossilawati Aminudin berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dua anggota sukarela sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya menyelamatkan kanak-kanak berkenaan selepas menerima maklumat.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu mengalami busung akibat jangkitan kuman yang dialami.

Katanya, kanak-kanak itu kemudian menjalani dua pembedahan di bahagian perut dan pembedahan ketiga dijangka akan dijalankan pada awal Januari tahun hadapan.

"Kanak kanak itu kini berada di bawah jagaan sementara seorang pekerja sukarela NGO melalui perintah mahkamah mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak Kanak 2001 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Bagi Kanak Kanak Georgetown.

"Sehingga kini pihak JKM gagal mengesan ibu kandung kanak kanak bagi melancarkan urusan lain berkaitan kanak- kanak itu di masa hadapan," katanya.

JKM memohon kerjasama orang ramai yang mengenali ibu atau waris kanak-kanak berkenaan supaya menghubungi Pegawai Pelindung JKM Rossilawati Aminudin di talian 04 2264531 / 04 2277413 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut kerana kes ini akan dibicarakan di mahkamah pada Khamis depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 3:20 PM