Muhammad Apendy Issahak


TUJUH individu termasuk seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini kerana menculik pelajar dan meminta wang tebusan RM3 juta.

Kesemua tertuduh didakwa melarikan dan mengurung secara salah pelajar lelaki berusia 17 tahun kira-kira 11 malam di hadapan Sekolah Menengah Kamunting Bakti, Taiping pada 2 September lalu.

Tertuduh S Ramesh, 21; S Elangovan, 29; P Thiban, 20; H Gobinath, 36; Saravanan, 33; S Simon Lazarus, 22; dan remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang mengangguk faham selepas Jurubahasa Mahkamah membacakan pertuduhan dalam Bahasa Tamil.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz di hadapan Majistret Mohd Hairul Jemain.

Thiban diwakili peguam J Matthews, manakala Gobinath dan Saravanan diwakili peguam P Ravi dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana menbabitkan kesalahan serius yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Mohd Hairul kemudian menetapkan 21 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu kesemua suspek dibawa ke mahkamah kira-kira 2.45 petang dengan menaiki lori polis dengan dikawal ketat beberapa anggota polis.

Ahli keluarga suspek selain ahli keluarga mangsa yang diculik turut memenuhi perkarangan mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes culik berkenaan.

Harian Metro hari ini melaporkan polis berjaya memberkas kumpulan penculik dan menemui semula RM175,400 daripada jumlah RM300,000 yang dibayar bapa mangsa kepada kumpulan terbabit.

Polis turut memberkas 12 suspek berusia 17 hingga 36 tahun termasuk tiga wanita, namun lima daripadanya dibebaskan dengan jaminan polis dan tujuh lagi didakwa hari ini.

Berita berkaitan:

Penculik tumpas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 6:12 PM
ANTARA tujuh individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Taiping. FOTO L Manimaran
ANTARA tujuh individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Taiping. FOTO L Manimaran