BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memeras ugut menyebarkan gambar bogel seorang wanita.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Faez Aiman Toiban, 23, selepas dia mengaku memeras ugut wanita berumur 20 tahun untuk menyebarkan gambar bogel mangsa bagi mendapatkan wang RM5,000.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Jalan Genting Klang di sini, pada 6 petang, 7 Februari lalu, mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 7 Februari 2017, wanita itu menerima pesanan melalui WhatsApp daripada seorang lelaki dikenalinya iaitu tertuduh, yang mengugut menyebarkan gambar bogelnya jika pengadu tidak menyerahkan wang kepada tertuduh.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan itu menjejaskan maruah pengadu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:05 PM