BERNAMA

Kuala lumpur: Gara-gara mengugut, menumbuk dan mencekik leher bapa kandung, seorang penganggur dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Firdaus Jasmi, 26, selepas dia mengaku bersalah sengaja mendatangkan ketakutan kepada Jasmi Mat Saleh, 58, dengan menunjukkan sebilah parang untuk menakutkan bapanya, seorang pesara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 205-2-17, Flat Sentul Utama di sini, pada 10.05 malam, 14 September lalu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa menegur tertuduh kerana mengambil sepaket daging burger di sebuah kedai di bawah rumah mereka tanpa membayar.

Tertuduh yang tidak puas hati, mengamuk dan mencacakkan parang pada pintu bilik bapanya serta menumbuk dan mencekik leher mangsa.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan anaknya itu berlari keluar dari rumah dan membuat laporan polis.

Tertuduh juga dihukum penjara empat bulan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja kepada bapanya, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Firdaus yang mengaku bersalah dengan sengaja melakukan khianat merosakkan sebuah televisyen milik bapanya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani ketiga-tiga hukuman itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:54 PM