Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Lelaki berusia 32 tahun yang baru dua minggu keluar penjara, ditahan bersama rakannya dalam Ops Kesan, Ops Pintu dan Ops Lejang di sekitar daerah ini sejak 29 Oktober lalu.

Mereka dipercayai terbabit dalam enam kes berasingan iaitu memiliki senjata berbahaya, tiga kes samun, satu pecah rumah dan satu curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, suspek utama itu ditahan pasukan Task Force diketuai Inspektor Sokolinkam Changgan ketika dia menunggang motosikal bersama rakannya di depan sebuah bank di sini pada 3 pagi, 29 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap suspek, polis menahan empat rakannya di lokasi berasingan yang disyaki terbabit dalam kegiatan sama.

"Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sebelum ini dipenjarakan kerana terbabit dalam salah guna dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (memiliki senjata berbahaya), Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan curi, Seksyen 394 KK kerana samun dengan mencederakan dan Seksyen 379A KK kerana curi motosikal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 4:38 PM
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki dan empat rakannya. -  ZULIATY ZULKIFLI
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki dan empat rakannya. - ZULIATY ZULKIFLI