Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MENYASARKAN etnik Rohingya yang keluar bekerja pada 4 hingga 6 pagi di Pasar Borong Kemunting, Kuantan, sebelum menyamun mereka termasuk menggunakan kekerasan.

Itu modus operandi dilakukan enam lelaki berusia 18 dan 19 tahun termasuk penuntut kolej apabila menjadikan warga asing sebagai sasaran jenayah mereka sejak empat bulan lalu.

Bagaimanapun, aktiviti mereka yang menyamun telefon bimbit dan wang ringgit, tumpas selepas ditahan dalam serbuan khas oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, pada 26 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya menahan seorang suspek di sekitar Bukit Setongkol sebelum membawa kepada penahanan lima lagi rakannya di sekitar Cenderawasih dan Indera Mahkota.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati semua suspek akan melakukan samun dengan menunggang motosikal dan menyasarkan etnik Rohingya yang berjalan ke tempat kerja serta mengancam untuk mencederakan mereka menggunakan topi keledar.

“Suspek ini ada yang bekerja sebagai buruh, kelindan lori, pembantu restoran dan juga penuntut kolej. Mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita turut merampas tiga motosikal dan satu kereta dipercayai digunakan untuk melakukan samun. Secara kebiasaan, mereka akan bergerak berdua dengan menunggang motosikal dan akan memilih mangsa yang berjalan seorang diri,” katanya dalam sidang media di IPD Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, dengan tertangkapnya semua suspek, pihaknya percaya sudah menyelesaikan 13 kes samun sejak Mac lalu.

Katanya, semua suspek direman hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis turut menahan pembantu kedai emas bersama pistol jenis Glock tiruan di hadapan kedai emas di Kuantan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dikatakan menyelitkan senjata itu di belakang pinggang bersama kelopak peluru.

“Siasatan kita mendapati suspek menyimpan senjata itu sejak tiga bulan lalu selepas memperoleh daripada kawannya. Kita sedang kenal pasti tujuan sebenar suspek menyimpan senjata api itu sama ada untuk melakukan jenayah atau gengsterisme,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 (memiliki senjata tiruan).

Dalam pada itu, IPD Kuantan juga sedang mengesan seorang lelaki, Lim Boey Huang, 39, beralamat di Kota Kemuning Utama, Subang Jaya, Selangor bagi membantu siasatan berhubung aktiviti mencuri kenderaan mewah di Kuantan.

“Ia susulan penahanan suspek lelaki berusia 45 tahun di sekitar Shah Alam, Selangor pada 25 Julai lalu, dipercayai terbabit melarikan Toyota Alphard, sehari sebelum itu di sini (Kuantan).

“Orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan atau mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan di talian 09-5652061 atau 09-5652222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 2:00 PM
MOHAMAD Noor ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
MOHAMAD Noor ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.