PESERTA iMIREX melakukan demonstrasi menyelamat ketika pertandingan di Hutan Rekreasi Ayer Keroh.
PESERTA iMIREX melakukan demonstrasi menyelamat ketika pertandingan di Hutan Rekreasi Ayer Keroh.

Di sebalik wajah mengantuk, kepenatan dan tidak selesa, mereka masih mempunyai kekuatan dan sedia digerakkan ke mana-mana sahaja lokasi bencana bagi membantu menyelamatkan mangsa terperangkap atau mengalami kecederaan.

Malah, mereka juga perlu sentiasa berwaspada dan melupakan seketika waktu tidur kerana isyarat kecemasan boleh dibunyikan pada bila-bila masa.

Semuanya kerana keazaman mahu bergelar juara Persidangan dan Pertandingan Insiden Besar dan Menyelamat Antarabangsa (iMIREX) yang berlangsung di Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Bagi menghidupkan suasana di lokasi dilanda bencana, 500 peserta mewakili 32 pasukan tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian dalam iMIREX ditempatkan di dalam khemah yang hanya dilengkapi peralatan asas.

Bukan sekadar menguji kemahiran menyelamat peserta, malah pertandingan itu turut mencabar kemampuan mental dan fizikal anggota penyelamat untuk bekerja di bawah tekanan berikutan tidak diberikan masa rehat secukupnya.

Setiap pasukan diberikan tugasan berbeza yag mencabar apabila perlu menyelesaikan tugasan menyelamat sama ada di air, kawasan tanah tinggi dan kemalangan lain termasuk atur gerak menggunakan helikopter.

Setiap pasukan diwakili 10 anggota penyelamat perlu menunjukkan kerjasama tinggi menggunakan teknik menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana hanya yang terbaik akan diangkat sebagai juara iMIREX.

Pertandingan dibahagi kepada tiga kategori iaitu nasional, antarabangsa dan agensi penyelamat di negara ini termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan penyelamat lain.

Pengerusi iMIREX Datuk Seri Dr Abu Hassan Assari Abdullah berkata, pertandingan itu bukan sahaja menguji kemampuan anggota penyelamat, sebaliknya meningkatkan lagi kemahiran mereka ketika melakukan operasi menyelamat membabitkan pelbagai elemen.

Bagi menjadikan simulasi latihan lebih realistik, pihaknya merangka pelbagai situasi termasuk di luar dugaan atau langsung tidak pernah dilalui anggota penyelamat sepanjang melakukan operasi menyelamat di lapangan.

“Sejak diperkenalkan pada 2010, kami sentiasa menaik taraf dan mempelbagaikan situasi menyelamat, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada peserta. Semakin sukar tugasan perlu diselesaikan, kami dapati anggota penyelamat semakin bersedia. Inilah hasil yang kami mahukan iaitu mereka boleh diatur gerak ke mana-mana sahaja lokasi untuk menyelamat.

“Kekuatan bukan segala-galanya bagi setiap anggota penyelamat, berikutan itu kami turut menguji mereka dari segi ketahanan emosi dan di sinilah pentingnya kerjasama berpasukan.

“Satu lagi kriteria perlu ada pada anggota penyelamat ialah sifat berani kerana mereka akan ditugaskan di lokasi berbeza dan berhadapan pelbagai bahaya sepanjang melakukan tugasan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran iMIREX perlu bagi memberikan pendedahan kepada pasukan penyelamat tempatan dan negara serantau lain terutama membabitkan bencana alam yang boleh melanda secara tiba-tiba.

“Cara atau kaedah operasi menyelamat dilakukan juga berubah mengikut peredaran zaman. Sebelum ini doktor pastinya berasa asing atau takut ketika ditugaskan dalam operasi di tapak bencana, namun kini mereka sudah berani kerana menjadi individu paling penting dalam apa juga bentuk kecemasan.

“Berikutan itu dalam pertandingan dianjurkan ini, kami uji peserta ke tahap maksimum untuk melihat kebolehan dan ketahanan mereka. Hanya yang terbaik dalam kalangan terbaik diangkat sebagai juara,” Nor Shafinaz Sari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 5:47 AM