Filem Rock Bro mula ditayangkan di pawagam 27 Oktober lalu.
Filem Rock Bro mula ditayangkan di pawagam 27 Oktober lalu.
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) Tengku Iesta Tengku Alauddin, kecewa dengan tindakan seorang individu yang memuat naik keseluruhan video filem Rock Bro di sebuah laman sosial, baru-baru ini.

Tengku Iesta berkata, perbuatan individu terbabit jelas tidak bertanggungjawab kerana filem arahan Mamat Khalid itu baru saja ditayangkan di pawagam.

Apa yang lebih mengecewakan, video berdurasi lebih dari satu jam yang memuatkan hampir keseluruhan cerita Rock Bro itu sudah dikongsi lebih 5,000 pemilik akaun di sebuah laman sosial itu.

Tengku Iesta berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada laman sosial terbabit meminta akaun individu terbabit disekat. Selain itu, pihaknya juga tidak akan teragak-agak membuat laporan polis.

“Ia satu tindakan jenayah kerana dia merompak hasil kerja kami. Tayangan filem baru saja bermula dan tidak sangka perkara seperti ini terjadi," katanya kepada Harian Metro.

Tengku Iesta berkata, tindakan individu itu boleh merosakkan ‘mood’ penonton yang teruja hendak menonton filem ini.

Sementara itu, selepas tujuh hari ditayangkan, filem lakonan Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Bahron dan Amy Juliet itu mencatat kutipan mencecah RM3 juta.

"Kutipan sudah RM3 juta sejak ditayangkan semalam. Saya berharap apa yang berlaku tidak mengganggu jumlah kutipan filem," katanya.

Filem Rock Bro yang diterbitkan GBSB dan Enjit Semut Sdn Bhd mula ditayangkan di seluruh negara sejak 27 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 6:44 PM