Rudy Imran Shamsudin


MENAMPILKAN elemen drama yang menyentuh perasaan membuatkan filem Rock Bro membuat kutipan melebihi RM800,000 selepas dua hari ditayangkan.

Ia adalah filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Enjit Semut Sdn Bhd (ESSB).

Filem yang diarahkan Mamat Khalid dan menampilkan lakonan cukup memberangsangkan dari Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Bahron dan Amy Juliet itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara, 27 Oktober lalu.

Sempena dengan tayangan Rock Bro, Harian Metro turut menjayakan sesi tayangan khas filem itu bertemakan #wayangtime dengan hampir 200 pembaca bertuah dapat menontonnya secara percuma di Berjaya Times Square, di sini, hari ini.

PEMBACA Harian Metro menukar keratan akbar untuk mendapatkan tiket percuma menyaksikan Filem Rock Bro di GSC Berjaya Times Square. FOTO Ruhanis Shukri
PEMBACA Harian Metro menukar keratan akbar untuk mendapatkan tiket percuma menyaksikan Filem Rock Bro di GSC Berjaya Times Square. FOTO Ruhanis Shukri

Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Tengku Iesta Tengku Alauddin, sewaktu dihubungi di sini, hari ini menjelaskan, sebaik majlis prebiu diadakan ramai tetamu dan penonton yang dijemput berasakan filem ini tidak hanya memaparkan komedi kosong.

“Kata mereka filem Rock Bro bukan hanya ada lawak jenaka tetapi turut menampilkan mesej kerohanian.

“Ada yang memberitahu turut tersentuh dengan perjalanan cerita dan perkembangan watak. Disebabkan itu juga kebanyakan penonton berasakan ia sesuai untuk ditonton seisi keluarga,” katanya.

Iesta turut mengakui jenama dan kejayaan diraih filem berkisar perjalanan hidup kumpulan rock 80-an dan 90-an ini bermula dengan Rock! pada 2005 dan diikuti Rock Oo! (2013), turut membantu Rock Bro meraih kutipan tinggi.

“Kutipan tinggi diperoleh Rock Bro ini, menjadi petanda positif untuk mencatat kutipan lebih tinggi dan pecah panggung.

“Tidak dinafikan sebelum ini pihak GBSB dan ESSB gusar dengan sambutan bakal diterima memandangkan tiada satu filem pun yang berjaya membuat kutipan pecah panggung selepas filem Boboboi The Movie berjaya mengutip RM20 juta,” katanya.

Selain itu Iesta menjelaskan komitmen yang ditunjukkan oleh pengarah dan pelakon yang turun ke pawagam bagi mempromosikan Rock Bro juga membantu ia mencatat kutipan tinggi.

“Minggu ini mereka berada di Kedah, kemudian ke Pulau Pinang dan Perak. Minggu hadapan semua pelakon akan turun ke beberapa negari di selatan termasuk Johor untuk bertemu dengan penonton di beberapa pawagam terpilih.

“Pada 6 November ini, majlis gala akan diadakan di Singapura bagi mempromosikan Rock Bro yang akan mula ditayangkan di Kota Singa itu bermula 18 November,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 6:17 PM