Tengku Iesta turun padang untuk membawa anak anak menonton filem berkenaan. FOTO NSTP/Khairull Azry Bidin
Tengku Iesta turun padang untuk membawa anak anak menonton filem berkenaan. FOTO NSTP/Khairull Azry Bidin
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Filem Boboiboy The Movie mencipta sejarah apabila menjadi filem animasi Melayu pertama yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung RM8 juta selepas 11 hari ditayangkan.

Filem arahan Nizam Razak, terbitan Animonsta Studios dan edaran Primeworks Studios itu mula ditayangkan di seluruh negara dan Brunei sejak 3 Mac lalu turut mengatasi kutipan filem animasi Melayu iaitu Seafood (RM2.4 juta) dan Geng Penggembaraan Upin Ipin (RM6.31 juta).

Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) Tengku Iesta Tengku Alauddin berkata, pihaknya tidak menyangka atas sambutan yang diterima terhadap filem itu sangat menggalakkan.

"Alhamdulillah atas sambutan yang diterima. Apabila saya sendiri turun padang untuk membawa anak-anak menyaksikan filem berkenaan berlaku keadaan ada kanak-kanak yang menangis apabila tiket habis dan dia tidak dpat menonton filem berkenaan.

"Malah ada juga penonton yang datang membeli tiket untuk tayangan hari ini terpaksa membeli untuk esok berikutan semua tiket sudah habis dijual," katanya.

Iesta berkata, atas sambutan menggalakkan yang diterima itu pihaknya berharap lebih banyak panggung dapat dibuka untuk orang ramai.

"Insya-Allah jika keadaan mengizinkan kami menyasarkan kutipan sebanyak RM15 juta sehingga akhir minggu depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 6:04 PM