Agensi

Washington: Kajian terbaru yang diadakan Fox News menunjukkan Donald Trump akan mengalahkan Hillary Clinton dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Dalam kajian itu, pengundi ditanya siapa yang akan mereka pilih antara dua calon berkenaan jika pilihan raya diadakan semalam.

Keputusan kajian menunjukkan Trump yang berkemungkinan besar mewakili Parti Republikan pada pilihan raya sebenar November depan, memperoleh 45 peratus undi. Hillary pula yang akan mewakili Parti Demokrat, meraih 42 peratus undi.

Bagaimanapun, responden dalam kajian itu bersependapat kedua-dua calon mempunyai masalah moral dan akan bercakap apa saja untuk menang.

Kajian itu juga mendapati, Trump akan tewas jika senator dari Vermont, Bernie Sanders yang mewakili Demokrat.

Hasil kajian terbaru itu menunjukkan perubahan besar berbanding kajian bulan lalu yang menunjukkan Hillary yang akan menang pilihan raya berkenaan.

Menurut kajian semalam, sebahagian besar pengundi wanita akan memilih Hillary sebagai presiden sementara dalam kalangan lelaki, ramai yang memilih Trump.

Dari segi kaum, Trump menjadi pilihan penduduk kulit putih sementara Hillary memperoleh sokongan golongan kulit hitam dan Hispanic.

Trump sudah hampir pasti mewakili Republikan pada pilihan raya 8 November depan selepas semua pesaingnya menarik diri.

Bagaimanapun, Hillary masih perlu bersaing dengan Sanders untuk menjadi calon Demokrat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:28 AM