SEORANG wanita menyanyi mengecam calon Donald Trump di hadapan  Menara Trump di New York, semalam.  - AP
SEORANG wanita menyanyi mengecam calon Donald Trump di hadapan Menara Trump di New York, semalam. - AP
AFP

Green Bay, Amerika Syarikat: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Republikan, Donald Trump semalam melabelkan operasi pesaingnya, Hillary Clinton sebagai ‘perusahaan jenayah.’

Trump juga menuduh Hillary mewujudkan keadaan untuk satu penipuan pilihan raya dan mendakwa media AS mahu meracuni fikiran pengundi.

Ketinggalan dalam tinjauan di peringkat nasional dan di negeri yang menjadi ‘kunci kemenangan,’ Trump memperhebatkan kempennya yang berbaki tiga minggu sebelum pilihan raya pada 8 November ini.

Trump menuduh Hillary membuat pakatan sulit dengan pihak berkuasa AS bagi menutup salah laku berhubung skandal e-mel dan mengecam tindakan itu yang dianggapnya antara kegagalan terbesar keadilan dalam sejarah AS.

Kempennya yang terjejas dengan komen lucah terhadap wanita dan tuduhan serangan seksual sekali lagi mendakwa berlakunya penipuan pengundi besar-besaran pada tahun ini walaupun dinafikan partinya sendiri.

Trump dan Hillary yang mewakili parti Demokrat dijadual berkongsi pentas pada hari ini dalam sesi debat terakhir sebelum pengundi membuat keputusan.

Baru-baru ini Trump beberapa kali membangkitkan isu mengenai sistem pilihan raya negara itu dan juga menuduh media sengaja mencetuskan kontroversi.

Tindakan Trump itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kekacauan sekiranya dia tewas.

Menurut tinjauan pendapat oleh Universiti Monmouth, Hillary kini mendahului Trump dengan 12 mata dengan mendapat 50 peratus, berbanding Trump 38 peratus undi di seluruh negara.

Banyak kajian menunjukkan penipuan pengundian dalam pilihan raya AS sangat jarang berlaku. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:01 AM