Muhammad Faris dipenjara 18 tahun dan enam sebat terhadap tuduhan merogol remaja perempuan. FOTO Zaman Huri Isa
Muhammad Faris dipenjara 18 tahun dan enam sebat terhadap tuduhan merogol remaja perempuan. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini tadi terhadap tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam kereta, dua tahun lalu.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhammad Faris Putera Jafperi, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula 15 Julai 2016.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun tujuh bulan di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria warna kuning di tempat letak kereta di Bandar Satelit, Pasir Tumboh pada 4.15 pagi, 2 Februari 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zubairi Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 4:49 PM