Tertuduh dipenjara 16 tahun dan dikenakan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol di Mahkamah Sesyen. FOTO Zaman Huri Isa
Tertuduh dipenjara 16 tahun dan dikenakan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol di Mahkamah Sesyen. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang nelayan dipenjara 16 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kota di sini terhadap tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, empat tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Elias Mohd Hussain, 21, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan bermula dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Kampung Sungai Hilir, Perupok, Bachok antara jam 12.30 tengah malam sehingga 1 pagi, 28 November 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 4:10 PM