AZIZ dipenjara 16 tahun dan lapan sebatan selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol pekerjanya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
AZIZ dipenjara 16 tahun dan lapan sebatan selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol pekerjanya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


LELAKI dipenjara 16 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan merogol pembantu kedai ibunya, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Aziz Hashim, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 24 tahun di dalam bilik air di sebuah kedai di Bukit Abu, Kuala Krai di sini kira-kira 2 petang, awal Februari 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama, di lokasi sama pada 9 pagi, 27 April 2016.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Zamri Mat Nawang yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

"Mohon mahkamah mengambil kira tertuduh juga bapa tunggal kepada tiga anak selepas bercerai dengan bekas isterinya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman berjalan berasingan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:21 PM