WAKIL EZ Qurban bersama  jawatankuasa dari Chad.
WAKIL EZ Qurban bersama jawatankuasa dari Chad.
LIMA ratus lembu dikorbankan.
LIMA ratus lembu dikorbankan.
Aniza Zainudin


Melihat status Chad yang tersenarai sebagai negara keempat termiskin dunia, Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU) memilih untuk mengadakan program ibadah korban di republik berkenaan.

Program kebajikan pertama dari Malaysia di Chad ini dianjurkan pihak MEDIU bersama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan Mahabbah Malaysia diadakan sempena Aidiladha lalu.

Sukar memasuki Chad

Menjadi delegasi pertama dari Malaysia di atas tiket anjuran ibadah korban, bukanlah proses yang mudah untuk memasuki negara terkenal dengan jolokan ‘Jantung Mati Afrika’ itu.

Tanpa hubungan diplomasi antara dua negara secara rasmi, rombongan MEDIU melakukan komunikasi bersama Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad dan pejabat setiausaha presiden untuk memperoleh visa khas.

17 jam perjalanan

Perjalanan memakan masa hampir 17 jam menuju ke Lapangan Terbang Hassan Djamous, N’djameena, delegasi disambut mesra oleh wakil Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad.

Selepas pertemuan dengan jawatankuasa pengelola diketuai Ketua Pengarah Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad, Dr Hussain Hassan Al-Akbar, pihak MEDIU dibawa ke pusat transit lembu berhampiran untuk melakukan penelitian dan pemeriksaan terhadap haiwan bakal dikorbankan.

Agih kepada 3,000 keluarga

Menurut Ketua Program Ibadah Korban, Jabatan Perhubungan Awam MEDIU, Jamaluddin Hussain, program ini diadakan di 25 lokasi berasingan di negara berkenaan.

“Program korban ini adalah amanah yang kita galas mewakili rakyat Malaysia yang berhasrat menyempurnakan ibadah ini.

“Keseluruhan, sebanyak 500 ekor lembu berjaya dikorbankan dan diagihkan kepada lebih 3,000 keluarga di Chad.

“Selain melakukan ibadah korban di N’djameena, kita turut melaksanakannya di beberapa wilayah yang membabitkan pusat pendidikan Islam, institut tahfiz al-Quran, penempatan pelarian, pusat kebajikan balu, rumah anak yatim serta penduduk setempat.

“Lokasi ini merangkumi wilayah Chari Baguirmi, Hadjer Lamis dan Al-Batha Timur.

“Bagi memastikan program ini berjalan lancar, kita turut mengadakan kerjasama dengan 15 agensi di bawah Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad,” katanya ketika ditemui.

Mengikut perancangan awal, pihak penganjur hanya menyasarkan untuk membantu 1,000 keluarga miskin Chad, namun keprihatinan rakyat Malaysia membolehkan pasukan ini melakukan ibadah korban dengan skala lebih besar.

Zahir penghargaan

Dr Hussain Hassan menyifatkan program berkenaan adalah bentuk sokongan berasaskan hubungan persaudaraan Islam pertama dari Malaysia.

Berkongsi rasa syukur, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan institusi terbabit yang menjayakan program ibadah korban di tanah airnya sekali gus membantu rakyat miskin.

Manakala, penerima daging korban yang kebanyakannya ibu tunggal mengakui terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia menerusi program dianjurkan.

Berkongsi perancangan masa depan, Jamaluddin berkata pihak MEDIU berhasrat meneruskan program ibadah korban di Chad dan berkemungkinan di lokasi berbeza terutama di sempadan negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:05 AM