Aizat Sharif

 

Alor Setar: Dua bekas pekerja sub-kontraktor pemasangan kabel telefon Telekom Malaysia (TM) ditahan polis kerana terbabit dalam 33 kes kecurian kabel telefon di sekitar Alor Setar sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata kedua-dua suspek lelaki berkenaan berusia dalam lingkungan 30an ditahan di salah sebuah rumah milik suspek berkenaan di Taman Nuri, Alor Setar pada 17 Oktober lalu selepas polis menerima 13 laporan polis yang dibuat berkenaan siri kejadian kecurian kabel telefon yang berlaku di bandar raya itu.

"€œKita melancarkan 'Ops Kotak TM'€™ dan berjaya mengesan serta menangkap dua lelaki yang kita dapati adalah bekas pekerja sub-kontraktor kepada TM dan ketika ditahan, kita turut merampas sejumlah peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel telefon berkenaan.

"Modus operandi mereka adalah mereka akan memakai kemeja T berkolar yang mempunyai lambang TM di hadapan serta perkataan Kontraktor€™ di belakangnya.

"Kita percaya baju itu milik syarikat sub-kontraktor tempat mereka berkhidmat dan akan meronda dengan motosikal mencari kotak talian telefon atau internet milik TM yang diletakkan di beberapa kawasan tertentu di daerah ini untuk dipecahkan sebelum memotong kabel telefon yang terdapat di dalamnya,"€ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Menurutnya, suspek ini mensasarkan kotak talian telefon ini disebabkan terdapat tembaga yang sangat berharga untuk mereka jual kepada pengusaha barangan lusuh di sekitar Alor Setar.

"€œDisebabkan mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam mengenai lokasi atau cara pemasangan kabel telefon maka memudahkanlah kegiatan yang mereka lakukan tanpa disyaki oleh sesiapa termasuk penduduk di kawasan perumahan.

"Mereka juga melakukan jenayah berkenaan tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam dan selepas mereka mencuri kabel berkenaan mereka akan membakar kabel berkenaan untuk membawa keluar kandungan tembaga yang terdapat dalam kabel itu.

"€œKita percaya motif yang dilakukan adalah bertujuan untuk mengaut keuntungan dan bukannya sabotaj," katanya.

Mohd Rozi berkata, lazimnya kedai barangan lusuh akan membeli tembaga yang diambil daripada kabel berkenaan dengan harga antara RM50 hingga RM70 untuk dua atau tiga kilogram.

"Kita turut menahan dua pengusaha barangan lusuh yang didapati membeli kabel telefon yang dicuri itu dari suspek pada 17 Oktober lepas juga untuk tujuan siasatan.

"€œKerugian dianggarkan bernilai RM300,000 dan jenayah yang dilakukan oleh kedua-dua lelkai berkenaan juga menyebabkan beberapa kawasan tertentu di Alor Setar terputus talian telefon dan internet.

"€œSemua suspek direman sehingga 27 Oktober untuk siasatan dibawah Seksyen 431(a) Kanun Keseksaan kerana khianat dan boleh dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan boleh dikenakan denda," katanya lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 1:05 PM
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin (dua kanan) bersama pegawainya menunjukan kabel Telekomunikasi dan peralatan mencuri yang dirampas dalam serbuan pada 17 oktober lepas berkenaan kes kecurian di sekitar Alor Setar anggaran bernilai RM300,000 di Sidang Media oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin (dua kanan) bersama pegawainya menunjukan kabel Telekomunikasi dan peralatan mencuri yang dirampas dalam serbuan pada 17 oktober lepas berkenaan kes kecurian di sekitar Alor Setar anggaran bernilai RM300,000 di Sidang Media oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM