POGBA (depan) jaring dua gol ketika United singkir Fenerbahce 4-2.
POGBA (depan) jaring dua gol ketika United singkir Fenerbahce 4-2.
AFP

Manchester, United Kingdom: Pengurus Manchester United Jose Mourinho berkata, Paul Pogba memerlukan masa untuk mempamer potensi sebenarnya di England selepas pemain tengah Perancis itu menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 4-1 ke atas Fenerbahce pada kempen Liga Europa.

Pembelian Pogba yang mencecah rekod dunia ketika dibeli dari Juventus, menyempurnakan penalti serta rembatan jarak jauh ketika aksi yang berlangsung di Old Trafford, pagi semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu masih belum mempamer aksi sebenar sejak berada di Old Trafford dari Turin tetapi Mourinho percaya persembahannya pagi semalam akan membantu meningkatkan keyakinan pemain itu.

“Ada yang mahu melihat dia meningkat dalam tempoh 48 jam,” kata Mourinho.

“Kami sedar bahawa dia memerlukan masa untuk menunjukkan potensinya. Saya kenal dengan corak bola sepak Itali. Pasukan di Itali bermain dengan gaya berbeza berbanding pasukan di England.

“Saya tidak berkata kami lebih baik tetapi kami berbeza, cara bermain, bertahan, jumlah sentuhan ke atas bola, semuanya berbeza dan dia memerlukan masa menyesuaikan diri.

“Dia mempunyai keyakinan diri. Dia tidak akan merasa rendah diri hanya kerana ada kelompok kecil yang mengatakan bahawa dia seorang pemain yang buruk. Dia tetap tenang.

“Bagi seorang pemain, adalah seronok jika dapat menjaringkan gol apatah lagi di tempat sendiri dan lebih menyeronokkan apabila dikategorikan sebagai gol cantik.”

Pogba membuka jaringan pada minit ke-31 selepas dia menyempurnakan penalti apabila Juan Mata dijatuhkan pertahanan Fenerbahce Simon Kjaer.

Rakan sepasukan Pogba di Perancis, Anthony Martial menambah jaringan, juga menerusi penalti tiga minit kemudian sebelum Jesse Lingard membuat hantaran yang disempurnakan Pogba untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Lingard mengukir nama sebagai penjaring menerusi rembatan jarak jauh pada awal babak kedua sebelum bekas pemain United Robin van Persie meledak jaringan tunggal pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:08 AM