NAIB Canselor, USM Profesor Datuk Dr Asma Ismail (dua kanan) dan Adnan (kanan) melihat percubaan akhir sistem e-pilih yang akan digunakan. FOTO ihsan USM
NAIB Canselor, USM Profesor Datuk Dr Asma Ismail (dua kanan) dan Adnan (kanan) melihat percubaan akhir sistem e-pilih yang akan digunakan. FOTO ihsan USM
Azma Razana Johari


Georgetown: Buat pertama kalinya, Universiti Sains Malaysia (USM) akan menggunakan rangkaian sistem dinamakan e-pilih pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2016/2017, esok.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Datuk Dr Adnan Hussein berkata, sistem berkenaan menggunakan daftar pemilih penuntut yang layak berbuat demikian melalui sistem e-pemilih dan dihubungkan kepada Rangkaian Sistem Maklumat USM.

"Sistem ini telus, cekap dan berkesan serta boleh dilakukan dengan cepat melalui penggunaan kad pengenalan diri penuntut.

"Setelah disahkan oleh sistem e-pemilih, penuntut akan dibenarkan mengundi melalui sistem e-pilih iaitu kaedah elektronik lebih efisyen serta menjimatkan masa dan mengurangkan kesilapan serta kerosakan semasa proses memilih,” katanya selepas menyaksikan sesi percubaan terakhir sistem dengan menggunakan penuntut dari ketiga-tiga kampus USM di Pulau Pinang, Nibong Tebal dan Kubang Kerian.

Menurutnya, pihaknya berpuas hati serta yakin sistem ini akan berjalan lancar dan keputusan akan diketahui sekitar 6 petang esok di Dewan Utama Pelajar berbanding dengan sebelum ini yang mengambil masa sehingga lewat malam.

Seramai 14,315 pelajar berdaftar USM di ketiga-tiga kampus utama akan keluar membuat pemilihan bermula 9 pagi di sembilan pusat pemilihan di enam lokasi iaitu empat di Kampus Induk Pulau Pinang dan masing-masing satu di Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan.

Di kampus induk, 27 orang calon bertanding dalam pemilihan kali ini yang melibatkan enam kerusi konstituensi umum dan 23 kerusi konstituensi pusat pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:09 PM