MOHD IZHAM
MOHD IZHAM
Pilihan raya MPP UPM dikendalikan sepenuhnya pelajar tanpa campur tangan pentadbir universiti
Pilihan raya MPP UPM dikendalikan sepenuhnya pelajar tanpa campur tangan pentadbir universiti
Oleh Fazurawati Che Lah


SEJAK tahun lalu, pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa.

Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus yang juga dianggotai sepenuhnya oleh mahasiswa diwujudkan bagi mengurus dan memantau pilihan raya. Sekali gus pilihan raya kampus di universiti awam akan bebas daripada campur tangan pentadbir universiti.

Menyertai Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus bukan satu tugas yang mudah, malah masa dan tenaga perlu dihabiskan bagi memastikan proses sepanjang pilihan raya kampus (PRK) berjalan lancar sehingga hari pengundian.

Menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP (JPMPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Izham Mohd Ali, 26, berusaha untuk memastikan PRK di kampus itu berjalan dengan baik sehingga ke tarikh pilihan raya.

Jika cuti semester kebanyakan mahasiswa mengambil peluang pulang ke kampung halaman dan berada bersama keluarga, anak muda ini memilih untuk berada di kampus bagi memastikan setiap gerak kerja Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) dilaksanakan dengan sempurna.

TEMPAT pengundian di fakulti
TEMPAT pengundian di fakulti

“Hampir setiap hari, masa saya dihabiskan di bilik gerakan PMPP untuk merancang dan merangka peraturan sejak MPP dibubarkan November lalu.

“Satu cabaran besar buat saya kerana ini kali pertama proses pemilihan MPP di UPM dijalankan sepenuhnya oleh JPMPP. Lebih mencabar bagi saya untuk membentuk peraturan dan perancangan PMPP itu sendiri,” katanya.

Mohd Izham mengakui, kali pertama merangka peraturan tidak semudah yang disangka kerana banyak faktor yang harus dilihat dan dikaji termasuk kapasiti pelajar bagi menentukan peraturan itu sesuai dipakai atau tidak.

Malah katanya, peraturan yang dibuat juga harus mendapat persetujuan dan kelulusan pihak pemantau.

“Disebabkan ini kali pertama UPM menyerahkan sepenuhnya kepada mahasiswa, saya perlu bekerja keras, selain berbincang dengan pihak atasan universiti, pandangan daripada semua pihak juga perlu diambil kira.

“Selain itu, saya turut membuat rujukan dengan melihat proses peraturan yang pernah dikeluarkan universiti awam lain, mana yang boleh pakai kita terima dan aplikasikan, jika sebaliknya kita ubah dan sesuaikan dengan PMPP UPM,” katanya.

PETUGAS SPR turut membantu ketika pilihan raya kampus.
PETUGAS SPR turut membantu ketika pilihan raya kampus.

Mohd Izham sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Yang Dipertua Media dan Perhubungan PMPP UPM pada tahun lalu.

Jelasnya, pemilihan MPP bagi tahun 2020 dijalankan menggunakan kertas undi berbanding sistem aplikasi elektronik iaitu e-undi yang digunakan sejak enam tahun lalu.

Penstrukturan semula sistem pengundian itu turut memberi cabaran kepada dia dan 13 lagi jawatankuasa induk JPMPP kerana turut mendapat tentangan daripada sebahagian pihak yang tidak setuju dengan kaedah manual itu.

Malah katanya, mereka juga perlu belajar daripada ‘zero’ kerana pelbagai prosedur perlu diteliti bagi memastikan perjalanan PRK dijalankan sama seperti sistem pengundian di luar.

BANTUAN turut diberikan kepada penuntut istimewa melakukan undian.
BANTUAN turut diberikan kepada penuntut istimewa melakukan undian.

“Ramai yang tidak setuju kembali kepada proses pengundian manual kerana dianggap membebankan dan tidak mengikut trend digital kini, tetapi kami tidak mempunyai pakar untuk untuk bangunkan sistem seperti itu.

“Kalau mahu teruskan dengan sistem elektronik, kami kena bergantung kepada universiti untuk bangunkan sistem itu. Sekiranya ini berlaku, maka 100 peratus pembabitan penuntut dalam PRK ini tidak akan terjadi,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Izham menegaskan pelbagai tindakan dan usaha dijalankan bagi memastikan pengundian pada tahun ini berjalan lancar, malah dia dan jawatankuasa induk turut mendapat kerjasama serta nasihat dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melaksanakan simulasi pilihan raya.

“Bagi saya, ini universiti, tempat pelajar belajar. Apa salah kalau kita praktikkan di sini dulu bagi membantu mereka belajar cara mengundi seperti di luar. Apabila tiba waktu sesuai dan cukup umur untuk mengundi, mereka sudah tahu bagaimana proses mengundi itu dilaksanakan,” katanya.

PENUNTUT luar
PENUNTUT luar

Sifat kepemimpinan yang ditonjolkan penuntut tahun akhir jurusan seni bina itu jelas membuktikan dia mampu menggerakkan jenteranya sendiri dalam menentukan kejayaan PMPP UPM kali ini.

Mohd Izham turut menjangkakan PMPP kali ini lebih hangat kerana PRK itu membabitkan pertandingan lima penjuru berbanding tiga penjuru sebelum ini.

Katanya, dalam memastikan saluran mengenai PMPP kali ini terus kepada warga kampus, jawatankuasa induk turut dibantu ahli jawatankuasa seramai 164 orang daripada kalangan penuntut untuk membantu kempen pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:15 AM