Gambar fail, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP.
Suzalina Halid


UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) menggalakkan penuntut untuk terus tinggal di kampus walaupun pihak berkuasa membenarkan mereka pulang ke kampung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof Dr Aldrin Abdullah berkata, gesaan itu dibuat berikutan pihak universiti meletakkan kepentingan masyarakat dan negara mengatasi yang lain tanpa mengambil ringan sebarang risiko yang ada jika penuntut pulang ke kampung masing-masing.

“Jika terdapat pengumuman rasmi pihak berkuasa membolehkan penuntut meninggalkan kampus semasa PKP masih berjalan atau selepas PKP dimansuhkan, USM menggalakkan mereka untuk terus tinggal di kampus terutamanya bagi pelajar yang akan menghadapi kesukaran untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian.

“Namun sekiranya terdapat juga penuntut yang ingin pulang ke kampung halaman, USM tidak bercadang menyediakan sebarang perkhidmatan bas khas untuk menghantar mereka pulang.

“USM juga tidak akan menanggung sebarang kos pengangkutan bagi mereka yang pulang menaiki pengangkutan sendiri, ” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKP yang sepatutnya berakhir pada Selasa ini dilanjutkan hingga 28 April.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan semalam menyarankan semua penuntut yang masih berada di kampus untuk tidak dihantar pulang ke kampung masing-masing buat masa ini.

Sehubungan itu, Aldrin berkata, USM memohon semua penuntut supaya mematuhi peraturan dan keperluan sedia ada dengan kekal berada di dalam kampus manakala mereka yang berada di kampung pula, tidak dibenarkan memasuki kampus.

Katanya, adalah wajar peraturan sedia ada dipatuhi demi kepentingan masyarakat dan negara dengan menyokong usaha gigih yang dibuat KKM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Universiti sentiasa mengikuti secara dekat malah memahami perasaan penuntut dan ibu bapa dalam menghadapi situasi ini sama ada di desa siswa mahu pun yang berada di luar kampus.

“Universiti berusaha sebaik mungkin membantu setiap penuntut supaya selesa, disajikan makanan yang baik dan mempunyai keperluan mencukupi supaya berupaya melakukan proses pengajaran dan pembelajaran secara inklusif terutamanya secara atas talian.

“Malah USM menyediakan khidmat sokongan yang terdiri daripada pensyarah dan profesional yang dapat memberi bantuan e-kaunseling kepada mana-mana penuntut yang memerlukan khidmat berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 5:35 PM