DUTERTE
DUTERTE
Agensi

Manila: Walaupun kempennya memerangi dadah belum berakhir dan mungkin dilanjutkan, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dilapor mengambil keputusan untuk mengharamkan merokok.

Duterte yang dikenali sebagai ‘The Punisher’ kerana dasar keras dan tegasnya, sudah pun mengharamkan merokok di Davao ketika menjadi datuk bandar di situ.

Kini, dia akan mengharamkannya di seluruh negara.

Larangan di peringkat kebangsaan akan selari dengan yang dilaksanakan di Davao.

“Merokok akan diharamkan di semua tempat awam, sama ada terbuka atau tertutup. Taman, stesen bas dan juga di dalam kenderaan - semuanya dianggap tempat awam,” kata Setiausaha Kesihatan Paulyn Ubial.

Bagaimanapun, cara pengharaman itu akan dilaksanakan, khususnya berkait dengan penjual dan kawasan yang dibenarkan merokok, masih belum dimuktamadkan.

Ketika ditanya sama ada Duterte menimbang bantahan industri tembakau, Paulyn berkata: “Terserah kepada mereka untuk membantah. Yang akan mereka bantah ialah presiden.”

Kira-kira 3,600 suspek dadah mati sejak Duterte menjadi presiden akhir Jun lalu, sama ada di tembak polis atau dibunuh oleh sukarelawan yang menyahut gesaan pemimpin itu supaya membantunya memerangi dadah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 7:42 AM