Duterte
Duterte

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelmarin mengesahkan kepada wartawan dia membunuh tiga penjenayah ketika menjadi datuk bandar Davao.

“Saya bunuh tiga orang. Saya tidak tahu berapa banyak peluru dari pistol saya yang mengenai tubuh mereka.

“Kejadian ini berlaku dan saya tidak boleh menipu,” katanya ketika disoal seorang wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC) di sini kelmarin.

Kenyataan terbaru Duterte itu dikeluarkan beberapa jam selepas jurucakapnya menafikan pemimpin itu membunuh suspek penjenayah.

Duterte mencetuskan kontroversi pada Rabu lalu apabila memberitahu sekumpulan ahli perniagaan bahawa dia membunuh suspek penjenayah ketika menjadi datuk bandar bagi menunjukkan contoh kepada polis.

“Saya mahu menunjukkan kepada mereka (polis), jika saya boleh lakukan (membunuh penjenayah) kenapa anda tidak boleh,” ujarnya.

Duterte kali pertama mendedahkan dia membunuh tiga lelaki itu adalah pada 2015 ketika dia masih menjadi datuk bandar Davao.

Katanya, tiga lelaki itu adalah suspek culik dan rogol.

Bagaimanapun, dia menafikan dia menembak lelaki berkenaan ketika mereka melutut dengan tangan diikat di belakang.

Duterte kini menerima kecaman kumpulan hak asasi manusia selepas kempen memerangi dadah yang dilancarkan kini meragut hampir 5,000 nyawa suspek dadah.

Sebahagian suspek dadah itu ditembak oleh individu yang tidak dikenali.

“Saya akan membunuh mereka (suspek dadah) hingga penggal pemerintahan saya berakhir,” tegasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:13 AM