Anggota forensik Polis Kebangsaan Filipina (PNP) memeriksa mayat pengedar dadah yang mati ditembak di Manila, semalam. - Foto EPA
Anggota forensik Polis Kebangsaan Filipina (PNP) memeriksa mayat pengedar dadah yang mati ditembak di Manila, semalam. - Foto EPA
AP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang hari ini mengumumkan secara terbuka pembabitan lebih 150 pegawai kanan kerajaan, termasuk hakim, datuk bandar, ahli politik, polis dan tentera dalam kegiatan berkaitan dadah, mengarahkan mereka menyerah diri untuk siasatan serta melucutkan jawatan tentera dan polis terbabit.

Dalam ucapan yang disiarkan televisyen, Duterte yang melancarkan perang terhadap dadah sejak mula berkuasa sebulan lalu, juga mengarahkan semua pengawal peribadi ahli politik yang berada dalam senarai itu ditarik balik serta membatalkan lesen senjata api mereka.

“Semua anggota tentera dan polis yang ditugaskan kepada mereka (ahli politik terbabit), saya beri masa 24 jam kepada anda untuk melaporkan diri kepada unit masing-masing atau saya akan tamatkan perkhidmatan anda,” katanya berucap di pangkalan tentera di Davao.

Menurutnya, sejauh mana pembabitan mereka yang namanya berada senarai diberi kepadanya oleh tentera dan polis belum dipastikan namun Duterte berkata, menjadi tugasnya mengumumkan kepada rakyat dalam usaha memerangi dadah.

“Anda tidak boleh menghalang saya dan saya tidak takut walaupun anda kata saya boleh dipenjarakan,” katanya.

Senarai itu yang menurut Duterte, turut mengandungi nama rakan-rakannya dan sudah disahkan pihak berkuasa namun tidak mempunyai bukti sejauh mana pembabitan mereka. Ia termasuk lapan hakim, lima jeneral (sebahagiannya sudah bersara) manakala selebihnya datuk bandar dan polis.

Perang terhadap dadah oleh pasukan keselamatan atas arahan Duterte menyaksikan lebih 400 orang yang didakwa pengedar besar dan kecil dibunuh, 4,400 lagi ditahan dan hampir 6,000 menyerah diri bagi mengelak dibunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:47 PM