Syamsul tidak sangka sambutan mengalakkan. FOTO cinema.com
Syamsul tidak sangka sambutan mengalakkan. FOTO cinema.com
Nor AkmarSamudin


Kuala Lumpur: Pengarah filem Munafik, Syamsul Yusof tidak menyangka filem itu yang ditayangkan di seluruh Indonesia sejak 5 Oktober lalu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penonton negara itu.

Menurut Syamsul, sejak ia mula ditayangkan di sana, Munafik berjaya mengatasi jumlah penonton yang menonton filem baru Indonesia di sana.

Bagaimanapun, Syamsul dan penerbit filem itu, Skop Productions Sdn Bhd belum mendapat jumlah kutipan Munafik di negara jiran itu.

Filem tempatan paling laris dengan kutipan sebanyak RM19 juta itu dibawa syarikat penerbitan terkemuka Indonesia, MD Picture untuk ditayangkan di Indonesia.

“Walaupun Munafik sudah ditayangkan di sini pada Februari lalu, namun MD Pictures yakin ia akan mendapat sambutan di Indonesia.

“MD Pictures sanggup mengeluarkan modal besar untuk membawa Munafik ke sana. Sebelum ini, filem tempatan sukar menembusi pasaran di negara itu,” katanya yang percaya pengaruh media sosial juga membuatkan Munafik mendapat perhatian di sana.

Syamsul berkata, sebelum tayangan perdana filem itu diadakan di Jakarta, dia bimbang apabila teringatkan ada beberapa filem tempatan yang ditayangkan di negara itu kurang mendapat liputan media di sana.

“Bagaimanapun tiba hari majlis itu diadakan, saya lega kerana tayangan Munafik mendapat sambutan luar biasa apabila mendapat liputan meluas media Indonesia dan panggung turut dipenuhi dengan jemputan lain.

“Mereka memberi respons yang sangat bagus pada babak tertentu sehingga ada yang bertepuk tangan. Media juga memberi ulasan termasuk di laman sosial. Mereka juga boleh terima produk Malaysia asalkan bagus sebagaimana penonton kita dapat menerima kemasukan filem mereka ke sini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MD Picture juga sudah menyatakan hasrat untuk bekerjsama dengan Skop Productions bagi menerbitkan Munafik 2. Menurut Syamsul, skrip Munafik 2 sudah siap tetapi selepas MD Pictures menyuarakan kerjasama itu, dia merombaknya semula untuk memantapkan jalan cerita kerana pembikinan filem itu nanti turut membabitkan pelakon dari sana.

“Buat masa sekarang saya terfikirkan Dian Sastrowardoyo. Lokasi penggambaran pula sama ada di Indonesia atau Malaysia bergantung kepada keperluan skrip. Jika semuanya berjalan lancar, penggambaran akan dimulakan pada awal atau pertengahan tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 7:36 PM