Filem Munafik arahan Syamsul dapat permintaan beberapa negara Asia Tenggara. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Filem Munafik arahan Syamsul dapat permintaan beberapa negara Asia Tenggara. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Amirul Haswendy Ashari


BIARPUN filem Munafik 2 bakal ditayangkan pada 30 Ogos depan namun filem arahan Syamsul Yusof itu sudah mendapat permintaan tiga negara Asia Tenggara yang berminat menayangkannya di negara mereka.

"Saya mendapat permintaan daripada Thailand, Vietnam dan Kemboja yang menunjukkan minat menayangkan Munafik 2 di negara itu.

"Malah, Indonesia juga bersedia menerima kehadiran Munafik 2 selepas melihat kejayaan Munafik di negara itu dua tahun lalu," katanya.

Syamsul berkata tiga negara itu bersetuju untuk menerima filemnya selepas menonton trailer rasmi yang sudah dimuatnaik ke laman Youtube dan Facebook dua hari lalu.

Katanya, mereka pada awalnya mahu melihat poster dan jalan cerita filem bergenre seram Islamik itu sebelum memberi pengesahan.

Bagaimanapun, mereka terus berminat selepas melihat sambutan menggalakkan trailer daripada peminat tempatan dan luar negara.

Katanya lagi, pada masa ini pihak pengedar dari tiga negara itu masih dalam proses mendapatkan tarikh tayangan sesuai.

Syamsul, anak produser terkenal, Datuk Yusof Haslam mengakui strateginya untuk melihat sekuel filem berada di tahap membanggakan menjadi kenyataan.

Ia menyusul selepas kejayaan filem itu ditayangkan pada 2016 yang berjaya mengutip lebih RM17 juta di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Untuk pasaran Indonesia, Munafik 2 akan ditayangkan di lebih 100 buah pawagam seluruh negara itu.

"Dulu kami perlu melalui orang tengah dan filem hanya mampu ditayangkan di 30 pawagam sahaja.

“Tetapi kali ini kami terus berhubung dengan pihak pawagam di sana sekaligus memudahkan filem terbaru itu menembusi kawasan lebih besar," katanya.

Tayangan filem Munafik 2 di Indonesia dijangka pada penghujung September iaitu tiga minggu selepas tayangan di Malaysia.

Selain Syamsul, Munafik 2 turut menampilkan lakonan Maya Karin, Datuk Fiz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan dan Datuk Rahim Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 8:22 PM