WARGA INTI dan penduduk PJS 9, Subang Jaya membina rumah hijau untuk menanam pelbagai jenis herba, buah dan sayur.
WARGA INTI dan penduduk PJS 9, Subang Jaya membina rumah hijau untuk menanam pelbagai jenis herba, buah dan sayur.
myMetro

Warga INTI International University (INTI) membabitkan pelajar, pensyarah dan staf serta penduduk PJS 9, Subang Jaya bersama-sama merealisasikan projek tanaman komuniti.

Projek membabitkan lebih 20 komuniti di kawasan berkenaan berasaskan prinsip 3R (kurangkan, guna dan kitar semula) dengan membina taman herba mini untuk manfaat penduduk setempat.

Model taman herba mini yang dibina di INTI International College Pulau Pinang itu direka Cef Yuzrem Ezri dengan menggabungkan beberapa elemen pengurusan ternakan dan pertanian.

Projek itu dilaksanakan bagi menggalak penduduk PJS 9 menanam sendiri herba, buah dan sayur organik segar.

Menariknya, projek itu turut dikongsi bersama cef seluruh dunia pada Laureate’s Culinary Chef Conference yang berlangsung di Panama, Mei lalu.

Cef Yuzrem berkata, menghasilkan sumber makanan sendiri dan membina kebun bandar mudah dan tidak memerlukan ruang besar.

“Menghasilkan sumber makanan sendiri lebih mudah daripada yang disangka. Anda hanya perlu beberapa kaki persegi ruang terbuka, sumber air dan sedikit waktu dan usaha untuk dicurahkan.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada projek tanaman komuniti di belakang rumah ini dan teruja melihat penduduk memanfaatkan ruang untuk merealisasikan projek ini,” katanya.

Pensyarah INTI International College Subang Cef Eddie Tan berkata, menghasilkan sumber makanan dapat memastikan bekalan berterusan selain menghasilkan tanaman organik, sihat dan segar.

“Menanam tanaman sendiri memberi kelebihan kerana kita dapat gunakan kaedah organik bebas daripada bahan kimia berbahaya.

“Penduduk juga dapat menghasilkan sumber makanan sendiri tanpa penggunaan racun perosak selain mengurangkan pencemaran air dan udara,” katanya.

Rumah hijau yang dibina setinggi sembilan kaki kali 10 kaki itu siap dibina dalam tempoh dua hari.

Herba ditanam dalam bahan kitar semula seperti katyu palet, bekas minuman, bekas plastik dan botol.

Antara herba, sayur dan buah yang ditanam ialah pokok selasih, pudina, pasli, ketumbar, rosemary, kunyit, terung, bendi, cili, kacang panjang, serai, pisang, betik dan nanas.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 2 Kapten Wan Hock Leong berkata, projek itu selari dengan perancangan yang dirangka bagi inisiatif Zon Bersih.

“Bukan hanya dapat hasilkan sumber makanan sihat, projek ini turut membantu penduduk keluar, bersatu dan mengeratkan hubungan.

“Melihat benih berbunga dan mengeluarkan hasil adalah sesuatu yang mengujakan,” katanya.

Bagi memastikan usahasama itu berterusan, INTI bercadang menganjurkan ‘Harvest Day Out’ ketika hasil tanaman dituai.

Cef dan pelajar kulinari INTI akan menuai hasil tanaman bersama penduduk dan mencipta menu sihat untuk dinikmati bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 12:04 PM